suria

Saya Tidak Ragu-Ragu Raih Trofi Untuk United - Van Gaal

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal mengetepikan kritikan yang dilemparkan, sebaliknya menegaskan dia tidak ragu-ragu untuk membawa skuad menjulang trofi juara.

Sejak kebelakangan ini Van Gaal menerima kritikan mengenai corak permainan yang menyaksikan skuadnya beberapa kali hanya meraih seri, malah turut terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada VfL Wolfsburg 3-2 Rabu lalu.

Biarpun begitu, bekas pengendali Belanda ini tetap yakin dengan kebolehannya membawa kejayaan kepada kelab.

"Saya tidak ada keraguan. Dalam sukan, kamu boleh menang dan kalah...kamu perlu menerimanya.

"Seorang pengurus perlu bekerja kuat, dan saya bekerja sangat gigih seperti mana dengan pemain-pemain," jelasnya.

Rata-rata penyokong kelab kurang berpuas hati dengan corak yang digunakan Van Gaal, serta kualiti pemain-pemain yang dibawa masuk oleh pengurus itu.

"Masalahnya kita perlu mencapai sasaran. Kelab seperti Manchester United mempunyai sasaran yang sangat tinggi.

"Kamu perlu menguruskan sasaran itu dan mendapatkan keputusan yang baik. Saya rasakan kamu juga boleh melihat pelbagai perkara positif di sini.

"Kamu perlu menganalisis keadaan kelab sekarang. Kamu tidak boleh bandingkan dengan tempoh 10 tahun lalu kerana telah banyak berlaku perubahan dalam bola sepak.

"Saya mempunyai tugas sendiri dan datang ke sini untuk membuktikan dengan gelaran juara, yang tidak mustahil boleh dilakukan. Kini kami dalam proses ke arah itu," kata Van Gaal menjelang perlawanan bertemu Bournemouth awal pagi Ahad ini.

Artikel Lain