suria

Piala Malaysia: Kedah, Selangor Seimbang Julang Trofi Juara

Ketua Pasukan Kedah Khairul Helmi Johari (kanan) dan Ketua Pasukan Selangor Shahrom Kalam bergambar bersama Piala Malaysia pada sidang media mengenai Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam pada Jumaat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Aksi penutup tirai Liga Malaysia 2015,akhir Piala Malaysia antara naib juara Liga Super, Selangor dan juara Liga Perdana, Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu malam bakal menjadi perhatian jutaan peminat bola sepak tanah air.

Sebanyak 62,000 keping tiket keseluruhan yang diperuntukkan kepada kedua-duapasukan habis dijual dalam tempoh kurang dua jam pada Khamis membawa maksud bahawa pertembungan epik antara dua pasukan berkenaan amat dinantikan oleh penyokong masing-masing.

Kemampuan taktikal pengendali Selangor, Mehmet Durakovic dan pemangku jurulatih Kedah, Ramon Marcote bakal diuji di hadapan lebih 80,000 penyokong yang dijangka membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan itu yang juga aksi ulangan akhir 2008 di mana Kedah menang tipis 3-2 pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun rekod berkenaan tidak boleh dijadikan sandaran oleh pemain Kedah untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kelima kerana pemain skuad Gergasi Merah turut bersemangat untuk menamatkan "Misi 33" yang sudah tertangguh sekian lama.

Untuk rekod, Selangor merupakan pasukan paling banyak merangkul Piala Malaysia iaitu sebanyak 32 kali iaitu pada 1922, 1927, 1928, 1929, 1935, 1936,1938, 1949, 1956, 1959, 1961, 1962, 1963, 1966, 1968, 1969, 1971, 1972, 1973,1975, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982, 1984, 1986, 1995, 1996, 1997, 2002 dan 2005.

Kedah meraih kejuaraan Piala Malaysia empat kali sebelum ini - 1990, 1993,2007 dan 2008 selain muncul naib juara sebanyak enam kali iaitu 1940, 1987,1988, 1989, 1992, 2004.

Durakovic yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali- 1995, 1996 dan 1997 ketika beraksi dengan Selangor memasang hasrat untuk menjulang piala berkenaan selaku jurulatih manakala Marcote pula mengintai trofi kedua, musim ini selepas membantu Kedah muncul juara Liga Perdana.

Marcote atau lebih dikenali sebagai Marco di kalangan pemain skuad Helang Merah, mengambil alih sementara tugas ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yangmenyertai Kursus Kejurulatihan Kelas A di China sejak akhir bulan lepas.

Dalam pada itu, beberapa bekas jurulatih dan bekas pemain kebangsaan mempunyai pandangan berbeza ke atas perlawanan berkenaan memandangkan dua pasukan berkenaan tidak diletakkan sebarang harapan untuk melangkah ke akhir Piala Malaysia, musim ini.

Bagi bekas pengendali pasukan UiTM FC, Mohd Azuan Mohd Zain mengakui Kedah berkelebihan muncul juara menerusi persembahan cemerlang dua awang import mereka iaitu Sandro Da Silva dari Brazil dan Chidi Edeh dari Nigeria yang sudah meledak 33 gol keseluruhan bersama Kedah dalam semua pertandingan, setakat ini.

Selain itu, katanya, skuad Helang Merah mempunyai banyak pemain muda yang mempamerkan aksi memukau dalam saingan Piala Malaysia seperti Mohd Rizal Ghazali, Muhammad Farhan Roslan selain Muhammad Syafiq Ahmad yang mewakili skuad Bawah 23 negara pada Sukan SEA Singapura, Jun lalu.

Berbeza pula dengan pandangan bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathanyang menyifatkan kelebihan beraksi di laman sendiri membantu Selangor menamatkan "Misi 33" mereka yang sekian lama tertangguh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan corak permainan yang diamalkan kedua-duapasukan tidak jauh berbeza iaitu hantaran bola pendek selain persefahaman yang baik antara kesemua pemain.

"Bagi saya, susah hendak ramalkan siapa juara kerana saya lihat kedua-duapasukan ini tidak mempunyai pemain bintang yang mempunyai skil individu berbanding Pahang dan Johor Darul Ta'zim.

"Cuma kelebihan beraksi di tempat sendiri akan membantu Selangor namunsecara kasarnya, saya lihat kedua-dua pasukan mempunyai corak persembahan yang tidak jauh bezanya," kata Sathianathan yang pernah mengendalikan beberapa pasukan tempatan.

Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee pula berpandangan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menjulang Piala Malaysia.

Kedah, katanya, mempunyai kombinasi pemain muda yang mempamerkan aksi cemerlang selain turut menunjukkan peningkatan dalam corak permainan sejak menjuarai Liga Perdana, manakala Selangor mempunyai barisan pertahanan yang mantap selain mempunyai keazaman yang sangat tinggi untuk meraih Piala Malaysia buat kali ke-33.-Bernama

Final Piala Malaysia, Kedah, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain