GEORGINIO Wijnaldum muncul wira Newcastle selepas membantu pasukan tuan rumah menewaskan Liverpool 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Saint James Park, Newcastle, awal pagi Isnin. Namun, nasib menyebelahi pasukan tuan rumah apabila mendahului pada minit ke-69 selepas Martin Skrtel menjaringkan gol ke gawang sendiri. Wijnaldum yang menjaringkan empat gol untuk Newcastle pada kemenangan terakhir dalam aksi EPL di gelanggang sendiri, menyumbat masuk gol kemenangan pada minit kecederaan. Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menurunkan Christian Benteke untuk memperkuat jentera serangan di samping Daniel Sturridge dan Divock Origi namun gagal membolosi gawang lawan. Kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali-arus sehingga kesilapan Skrtel membuka ruang kepada pasukan tuan rumah untuk mendahului pada babak kedua sebelum memenangi perlawanan itu. Ia adalah kekalahan pertama Liverpool di gelanggang lawan semasa di bawah pimpinan Klopp. Liverpool kini menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul 23 mata daripada 15 perlawanan. Newcastle pula dalam kelompok tiga pasukan tercorot liga dengan hanya mengutip 13 mata daripada 15 perlawanan.