suria

Bundesliga: Borussia Moenchengladbach Calar Rekod Tanpa Kalah Bayern

Pep Guardiola
PASUKAN Borrussia Moenchengladbach berjaya mencalarkan rekod tanpa kalah Bayern Munich musim ini dengan kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Jerman, Sabtu malam.


Oscar Wendt membukan jaringan sulung permainan pada minit ke-54 sebelum Lars Stindl dan Fabian Johnson melengkapkan tiga gol Borrussia Moenchengladbach setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Skuad Bayern Munich yang dibimbing Pep Guardiola tersentak dengan tiga gol lawan itu setelah mencatat 13 kemenangan daripada 14 perlawanan sejak bermula kempen Bundesliga musim ini.

Franck Ribery yang kembali beraksi selepas lapan bulan berehat gara-gara kecederaan menjaringkan gol tunggal Bayern pada minit ke-81, namun sudah terlewat untuk mengejar kedudukan.

“Selepas jaringan pertama, kami hilang disiplin sepenuhnya. Ia sangat tidak baik. Kami hanya menyerang dan sebab itulah kami tewas.

“Ia agak sukar selepas sesi rehat kerana kami hilang kawalan. Perlawanan ini satu pengajaran agar kamu tidak boleh abaikan gaya permainan sendiri,” jelas Guardiola.

Sementara itu, Gladbach melebarkan rekod tanpa kalah di bawah bimbingan Andre Schubert dalam 10 perlawanan terakhir dan kini mara ke tangga ketiga liga dengan 26 mata.

Manakala Bayern kekal mendahului kedudukan dengan 40 mata, kelebihan lapan mata di depan Borrussia Dortmund.

Artikel Berikut

Artikel Lain