suria

FAM Tarik Nafas Lega Keputusan Pesuruhjaya Sukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega kerana tiada tindakan tegas dikenakan ke atas persatuan berkenaan, sebaliknya badan induk bola sepak negara itu diarah mengambil tindakan segera menambah baik sistem kawalan dan keselamatan stadium.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan pada Isnin, mengesahkan telah menerima surat daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman pada Jumaat lepas, berhubung tindakan di atas insiden kekecohan penonton ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lepas.

Menurut Hamidin, surat berkenaan menegaskan FAM bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, dan berpandangan masih terdapat kelemahan yang boleh ditambah baik oleh FAM dalam usaha menangani isu-isu dan permasalahan tersebut.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Sukan meminta agar FAM mengambil tindakan segera terhadap tiga perkara iaitu memperketatkan peraturan sedia ada supaya lebih kemas dan teratur dengan mewujudkan tatacara kaedah pengurusan penonton, bersama-sama pihak pengurusan stadium.

Pesuruhjaya Sukan juga meminta FAM memperkemas dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dengan lebih terperinci untuk jaminan keselamatan yang baik dan efisien.

Selain itu, FAM juga diminta menambah baik sistem atau saringan pemeriksaan penonton termasuk ke atas peniaga yang terlibat dalam perniagaan dalam venue.

Sementara itu, Hamidin berkata FAM mengambil maklum serta prihatin dengan semua saranan dan cadangan yang dikemukakan oleh Zaiton dan akan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiga saranan itu dapat dilaksanakan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Setakat ini, katanya FAM melalui Jawatankuasa Keselamatan yang dipengerusikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim telah mengambil beberapa langkah susulan.

Antaranya memperkenalkan satu peraturan khas yang bakal dijadikan asas untuk aspek kawalan dan keselamatan stadium termasuk hal menjaga ketenteraman dan harta benda awam.

"Peraturan itu nanti akan turut menyediakan satu SOP kawalan dan keselamatan stadium, bukan sekadar untuk perlawanan antarabangsa, bahkan juga semasa penganjuran pertandingan-pertandingan peringkat domestik," katanya.

Beliau berkata pembentukan peraturan yang masih lagi dalam proses penyediaan peringkat awal itu akan turut mengambil kira konsep dan amalan yang dibuat di peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi terpaksa dihentikan berikutan penonton melempar suar dan bunga api ke dalam padang.

Malaysia ketinggalan 1-2 pada minit ke-88 apabila penyokong membaling suar dan bunga api di Stadium Shah Alam, sehinggakan padang diselimuti asap.

Ekoran insiden itu, FIFA mendenda FAM sejumlah RM180,000 dan memberi Arab Saudi kemenangan 3-0, selain mengarahkan skuad kebangsaan bermain satu perlawanan tanpa penyokong membabitkan perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November lepas.

FAM, Pesuruhjaya Sukan Malaysia

Artikel Lain