suria

Terry Cedera Kerana Keadaan Padang Teruk - Mourinho

John Terry diusung keluar padang dengan stretcher selepas cedera ketika perlawanan menentang Maccabi Tel-Aviv di Stadium Sammy Ofer di Haifa, Israel, awal pagi Rabu.
PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho berpuas hati dengan kemenangan 4-0 ke atas Maccabi Tel Aviv dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara di Stadium Sammy Ofer, awal pagi Rabu.

Namun, dia telah mengkritik keadaan padang yang buruk yang menyebabkan kapten pasukan, John Terry tercedera.

Empat gol Chelsea ke atas Maccabi Tel Aviv disumbangkan oleh Gary Cahill (20'), Willian (73'), Oscar (77'), dan Kurt Zouma (91').

Dalam perlawanan itu, The Blues nyata mendominasi permainan - 60 peratus berbanding 40 peratus oleh pasukan lawan.

Kemenangan itu juga mengangkat kedudukan Chelsea ke puncak Kumpulan G dengan 10 mata dan Porto di tempat kedua.

"Keputusan ini sangat penting, lebih-lebih lagi dengan dengan kekalahan Porto," ujar Mourinho selepas perlawanan.

"Hal ini juga penting kerana kami meraih dua kemenangan berturut-turut. Saya mengharapkan ketenangan, moral, dan keyakinan diri pada masa akan datang," kata pengurus dari Portugal itu merujuk kepada kemenangan Chelsea atas Norwich City dalam saingan Liga Perdana, baru-baru ini.

Perlawanan menentang Maccabi Tel Aviv juga menyaksikan kad merah dilayangkan. Pemain tuan rumah, Tal Ben Haim, diarah keluar padang oleh pengadil pada minit ke-41 setelah melanggar Diego Costa.

Namun, semangat dan keazaman pasukan lawan tetap dipuji Mourinho. 

"Kami berada dalam posisi yang baik. Mereka (Maccabi Tel Aviv) tidak goyah walaupun dilayang kad merah. Mereka bermain dengan baik dengan 10 orang," kata Mourinho.

Mourinho juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan penampilan penjaga golnya, Asmir Begovic, serta keadaan John Terry yang cedera dalam perlawanan tersebut.

"Begovic mempunyai tangan yang bagus untuk mendapat clean sheet. Keadaan padang benar-benar buruk. Ini menimbulkan kesukaran untuk kami. Ramires telah cedera, dan hari ini giliran John Terry," kata Mourinho.

"Tentunya keadaan Terry diragui untuk perlawanan seterusnya, tetapi saya tidak akan bercakap apa-apa tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu," katanya.

Chelsea akan berdepan Tottenham Hotspur hujung minggu ini. Perlwanan ini akan menjadi bukti Chelsea sudah mendapat momentum positif setelah meraih dua kemenangan berturut-turut dalam perlawanan penting.

Artikel Lain