suria

Berdepan Skandal, Niersbach Lepas Jawatan Presiden DFB

Wolfgang Niersbach
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) Wolfgang Niersbach melepaskan jawatannya pada Isnin setelah organisasi yang dipimpinnya itu berdepan skandal pemilihan tuan rumah Piala Dunia.

Niersbach yang kini juga sedang disiasat kerana kes penipuan cukai, hanya berkata bahawa dia mengambil tanggungjawab politik ke atas skandal tersebut.

DFB melakukan pembayaran berjumlah 6.7 juta euro kepada bekas CEO Adidas, Robert Louis-Dreyfus, melalui FIFA.

Bayaran tersebut dilaporkan akhbar harian Jerman, Spiegel sebagai wang suapan untuk membeli hak dalam proses pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2006.

Niersbach berkata dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Niersbach menegaskan dia selalu bekerja dengan 'bersih, yakin, dan benar.'

"Saya mahu menjelaskan bahawa saya tanpa bersalah sama sekali tidak mengetahui tentang latar belakang aliran pembayaran yang sedang disiasat," katanya.

Pada 3 November lalu, polis Frankfurt menyerbu ibu pejabat DFB berkaitan kes penyelewengan cukai dalam Piala Dunia 2006.

Tiga pihak yang disiasat itu dipercayai Presiden, Wolfgang Niersbach, penyandang sebelum ini, Theo Zwanziger dan bekas Setiausaha, Horst Schmidt.

"Terdapat syak wasangka mengenai penipuan cukai yang dianggap kes yang amat serius.

"Ia membabitkan jumlah 6.7 juta euro (RM31.58 juta)," kata jurucakap itu dengan menambah 50 pegawai terbabit dengan serbuan terbabit.

DFB sebelum ini dikaitkan dengan pertuduhan menerusi majalah Der Spiegel bulan lalu mengatakan RM31.58 juta dibayar kepada FIFA sebagai membeli undi untuk mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia 2006.

Niersbach menafikan tuduhan itu dan mendakwa wang yang digunakan adalah untuk mendapatkan pembiayaan lebih besar dari Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Zwanziger bagaimanapun menuduh Niersbach sebagai menipu dan berkata "jelas terdapat dana yang digunakan dalam proses pembidaan Piala Dunia Jerman." 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala FA

Artikel Lain