suria

Pasukan Drive M7 SIC Sah Guna Jentera Honda Musim 2016

Razlan (kanan) berjabat tangan dengan Naib Presiden Eksekutif HRC, Shuhei Nakamoto. Turut kelihatan pengurus pasukan Drive M7 SIC, Stigefelt (kiri).
SEPANG: Pasukan Drive M7 SIC Racing  mengesahkan bakal menggunakan mesin Honda musim 2016 selepas mencapai persetujuan bersama Honda Racing Corporation (HRC) pada Sabtu.


HRC akan menyediakan mesin Honda untuk dua jentera NSF250RW bagi kelas Moto3.

Pasukan Malaysia ini percaya hubungan baharu dengan Honda ini akan membuka peluang lebih cemerlang dan meningkatkan prestasi  tahun depan.

“Kami berterima kasih kepada Honda Racing Corporation dalam menyediakan mesin Honda untuk musim depan.

“Honda telah membuktikan kemampuannya  sejak tahun, malah tahu ini juga turut mempamerkan saingan kompetitif, dan kami juga menghargai dengan dua jentera yang disediakan untuk dua pelumba kita pada tahun 2016.

“Selain menyediakan jentera kepada pasukan, terdapat banyak lagi yang boleh kita manfaatkan bersama pengedar Honda tempatan di Malaysia, sekaligus memberi kami ruang  bagi penglibatan dalam Piala Bakat Asia, yang mana semua pelumba menggunakan mesin Honda.

“Kerjasama ini juga turut membolehkan kita berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam Moto3 yang bukan sahaja untuk pembangunan pelumba-pelumba di Asia atau Malaysia tetapi berkaitan dengan kepakaran jurutera serta bahagian krew,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Sepang Antarabangsa (SIC) Datuk Razlan Razali, Sabtu malam.

Sementara itu pengurus pasukan Drive M7 SIC, Johan Stigefelt mengakui bertukar kepada Honda merupakan langkah yang betul.

“Kami mengutip banyak pengalaman bagi tahun pertama terbabit dalam Moto3. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan HRC, terutama berkaitan dengan SIC dan Piala Bakat Asia.

“Sudah tentu kami perlu mempelajarinya dari awal kerana ia adalah jentera baharu, tetapi kami sudah menyediakan perancangan bagi mengadakan ujian pra musim  tahun depan.

“Kami mahu memastikan pasukan berada dalam keadaan bersedia sebaik mungkin sebelum tiba di Qatar.

“Kami mempunyai pengalaman dalam Moto3 dan tahu asasnya, jadi musim 2016 pasukan akan ke tahap yang lebih baik bermula awal musim dan ia sangat penting

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek ini, terutama Razlan Razali yang terus memberi kepercayaan melaburkan masa dan duit bagi pasukan ini. Kami akan teruskan aksi terbaik untuk masa depan pasukan,” jelasnya.

Drive M7 SIC, Razlan Razali, Honda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain