suria

JDT Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2015

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengalahkan Sarawak 3-0 pada perlawanan tunggal Kumpulan B di Stadium Negeri di Kuching, malam Sabtu. Foto FB JOHOR Southern Tigers

KUCHING: Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan kedua selepas Selangor yang berjaya mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2015.

Kemenangan selesa 3-0 yang dicatat oleh skuad Harimau Selatan ke atas Sarawak di Stadium Negeri malam Sabtu menyaksikan mereka meraih 12 mata maksimum, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan, dengan baki dua perlawanan.

Kekalahan tersebut pula menyaksikan persaingan untuk merebut satu lagi slot suku akhir dalam kumpulan B kembali terbuka antara Sarawak dan dua lagi pasukan iaitu Perak dan Angkatan Tentera Malaysia yang berkongsi tiga mata.

Pada aksi malam Sabtu, JDT berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali.

Pengadil Syed Azahar Syed Kamar memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat selepas Mohd Amri Yahyah dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain tuan rumah dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, JDT terpaksa menanti pada minit ke-79 untuk meraih gol kedua menerusi pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun yang menanduk masuk hantaran silang daripada Mahali Jasuli.

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim yang masuk pada pertengahan babak kedua memastikan tiga mata penuh menjadi milik JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Sarawak, yang turun tanpa ketua pasukan, Joseph Kalang Tie yang digantung perlawanan, turut melakukan beberapa percubaan ke pintu gol JDT namun ketumpulan penyudah jentera serangan menyaksikan mereka gagal menjaringkan sebarang gol. - Bernama

JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain