suria

Hanya Exco FAM Punya Kuasa Tentukan Agihan Untung Liga-M

Kevin Ramalingam.

KUALA LUMPUR: Football Malaysia LLP (FMLLP) tidak mempunyai kuasa menentukan jumlah agihan keuntungan daripada perkongsian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Media Partners  and  Silva (MP  and  Silva).

Awal tahun ini, FAM dan MP  and  Silva, syarikat pemegang hak media antarabangsa menandatangani perjanjian yang menyaksikan penubuhan FMLLP yang bertanggungjawab mengendalikan Liga Malaysia (Liga-M) pada 2016.

Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata hanya anggota Exco FAM mempunyai kuasa memutuskan perkara itu yang kerap dibangkitkan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam mengenai agihan keuntungan Liga-M adalah tepat sambil menegaskan Exco FAM perlu mengundi untuk mencapai persetujuan.

"Sekretariat atau pengurusan FMLLP yang saya uruskan tidak boleh mengubah jumlah peratusannya," kata Ramalingam.

Beliau juga berkata FMLLP akan mengadakan bengkel khas untuk negeri dan kelab yang terlibat dengan Liga-M bulan depan, bagi menerangkan kepada mereka mengenai isu itu.

Ramalingam berkata FMLLP telah menemui mereka yang terlibat dan akan melakukannya lagi bagi memastikan ketelusan agihan keuntungan Liga-M itu.

"Tiada apa yang akan kami (FMLLP) sembunyikan. Itulah cara yang saya mahu ia dikendalikan...secara telus dan terang," katanya.

Menerusi perjanjian itu, MP  and  Silva dijangka menyalurkan RM70 juta setahun kepada FMLLP bagi tempoh 2016-2021, RM85 juta setahun dari 2022-2024, RM92 juta dari 2025-2027 dan RM103 juta dari 2028-2030.

Daripada keuntungan RM70 juta itu, FAM akan mendapat 40 peratus daripadanya, negeri dan kelab yang bertanding 30 peratus, pembangunan belia dan pengadil mendapat 10 peratus manakala baki 20 peratus untuk mengendalikan Liga-M. - BERNAMA

Kevin Ramalingam, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain