suria

Futsal AFF: Malaysia Benam Timor Leste 7-2

Aksi pemain negara ketika menentang Timor Leste pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Malaysia kembali melakar kemenangan di Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2015 apabila menewaskanTimor Leste 7-2 pada perlawanan peringkat Kumpulan A pada Ahad.

Pada aksi di Arena Futsal Bangkok, Malaysia membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Akmarulnizam Mohd Idris sebelum Muhammad Fitri Muhamad Yatim dan Saiful Aula Ahmad masing-masing menyumbangkan gol pada minit ke-12 dan 17.

Timor Leste kemudian mengurangkan defisit melalui Machel Antonio FernandesAlves Carvalho pada minit ke-19, tetapi Muhammad Fitri menyumbat satu lagi gol pada minit ke-22 untuk kekal menguasai perlawanan sebelum Timor Leste membalas menerusi Remigio Duarte seminit kemudian.

Skuad kendalian Marcelo Serpa kemudian menambahkan jaringan menerusi Saiful Nizam Mohamad Ali pada minit ke-34, Saiful Aula (37) dan Ahmad Fawzul Hadzir(40) untuk mencatat kemenangan 7-2 itu.

Malaysia yang membelasah Brunei 9-1 pada aksi pembukaan pada Khamis dikalahkan 1-6 oleh tuan rumah semalam, sebelum bangkit dalam perlawanan ketiga mereka hari ini.

Skuad kebangsaan akan meneruskan cabaran menentang Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan Isnin untuk merebut slot terakhir ke peringkat separuh akhir, selepas Thailand sudah melayakkan diri.

Empat pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan mara ke pusingan akhir Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 di Uzbekistan, Februari depan.

Kejohanan Futsal AFF

Artikel Lain