suria

Manny Pacquiao Ikut Jejak Mayweather Bersara Lepas Satu Lagi Perlawanan

Perlawanan yang mencipta sejarah sebagai paling mahal di dunia - pertarungan antara Manny Pacquiao menentang Floyd Mayweather Mei lalu.

BEKAS juara tinju dunia dari Filipina, Manny Pacquiao mengumumkan yang beliau akan bersara selepas satu sahaja lagi perlawanan tahun depan.

Pacquiao, yang tewas di tangan Floyd Mayweather dalam perlawanan paling mahal dalam sejarah tinju dunia Mei lalu memutuskan untuk bertanding bagi kerusi senator pada pilihan raya senat negara itu tahun depan.

Peninju Britain, Amir Khan adalah pencabar potensi Pacquiao yang kini sudah pun berusia 36 tahun.

"Saya telah bertinju selama lebih 20 tahun jadi tahun depan saya berhasrat untuk melakukan pertarungan terakhir dan bersara," katanya kepada ANC.

Tambahnya lagi, jika terpilih sebagai senator, adalah mustahil untuknya menumpukan perhatian kepada dunia tinju.

"Saya perlu menamatkan karier tinju saya jika saya berkhidmat sebagai senator," katanya.

Mayweather yang dikenali dengan gelaran "The Money Man" kerana kerap menayangkan wang tunai di kediaman atau di dalam jet peribadinya telah pun bersara selepas memenangi 49 perlawanan tanpa kalah.

Perlawanan terakhir Mayweather ialah menentang Andre Berto awal bulan lalu.

Dia menyamai rekod yang dicapai oleh bekas juara tinju dunia, Rocky Marciano.

Sepanjang 19 tahun karier profesionalnya sebagai peninju, dia telah memperolehi wang ganjaran dan kemenangan sehingga AS$800 juta.

Dalam perlawanan menentang Pacquiao, dia menerima AS$180 juta iaitu paling tinggi dalam sejarah tinju dunia manakala Pacquiao pula menerima AS$120 juta.

Pacquiao pula mempunyai rekod 57 menang, enam kalah dan dua seri.

Artikel Lain