suria

Jawatankuasa Pembelian Pemain Punca Kejatuhan Brendan Rodgers

Brendan Rodgers pengurus Liverpool yang menjadi mangsa pemecatan pertama musim ini dalam Liga Perdana Inggeris.

DARIPADA seorang pengurus yang hampir mencatat sejarah sebagai yang pertama membawa kembali takhta Liga Perdana Inggeris ke Anfield dalam tempoh 24 tahun, 18 bulan yang lalu, Brendan Rodgers kini mendapati dia tidak lagi diperlukan oleh Liverpool.

Di manakah silapnya sedangkan dia pernah dilabelkan sebagai pengurus British yang sedang menjejaki langkah Sir Alex Ferguson untuk menjadi yang terbaik.

Ramai yang menuding jari, kalah 2-0 kepada Chelsea, kemudian diikuti dengan kritikan oleh legenda Anfield sendiri Steven Gerrard, adalah permulaan kepada rantaian insiden yang akhirnya membawa kepada pemecatan Rodgers.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang melihat, kejatuhan Rodgers adalah berpunca daripada polisi pembelian pemain yang menyaksikan sejumlah £292 juta telah dibelanjakan tanpa sebarang hasil yang lumayan sejak 2012.

Sebaliknya, bakat-bakat bertaraf dunia yang dibelinya berakhir dengan mereka meninggalkannya untuk mencari kegemilangan di kelab lain.

Untuk menambahkan lagi malapetaka yang menimpa Rodgers, ialah kewujudan sebuah jawatankuasa pembelian pemain yang dilihat sebagai menyumbang lebih banyak kegagalan daripada kejayaan.

Jawatankuasa ini terdiri daripada Rodgers sendiri, peninjau Dave Fallows dan Barry Hunter, juru analisis pemain, Michael Edwards, wakil pemilik Liverpool, Fenway Sports Group's (FSG) Mike Gordon dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ian Ayre.

Jawatankuasa ini memberi penekanan yang berlebihan kepada pemain-pemain muda yang belum terbukti di peringkat tertinggi tetapi dianggap sebagai serba boleh.

Hasilnya, 23 pemain baru telah dibawa masuk untuk dilatih oleh Rodgers.

Daripada jumlah ini, hanya dua pemain sahaja yang dilihat sebagai layak dilabelkan sebagai berjaya. Pemain-pemain itu ialah Philippe Coutinho dari Brazil yany dibeli pada harga £8.5 juta dari Inter Milan dan Daniel Sturridge pada harga £12 juta dari Chelsea.

Tolak dua nama ini, yang lain sama ada sedang bergelut dengan kecederaan atau gagal memenuhi potensi yang diharapkan daripada mereka.

Bayangkan £20 juta yang dibelanjakan untuk membawa masuk pemain pertahanan Dejan Lovren dan juga jumlah yang sama ke atas Lazar Markovic.

Pembaziran itu digunakan hasil daripada wang yang diterima dengan menjual pemain bertaraf dunia Luis Suarez kepada Barcelona dengan harga sebanyak £75 juta dan setahun kemudian Raheem Sterling pula berhijrah ke Manchester City dengan nilai sebanyak £49 juta.

Untuk menambahkan lagi tekanan, kapten, Stevie Gerrard berpindah ke LA Galaxy selepas dia tidak ditawarkan lanjutan kontrak oleh Liverpool.

Selepas melepaskan Suarez, Rodgers berhadapan dengan masalah untuk mencari penganti yang setaraf dengannya kerana jawatankuasa pembelian pemain mahu dia menumpukan perhatian kepada bakat-bakat baru yang belum digilap tetapi berpotensi untuk muncul sebagai superstar.

Kesilapan paling besar ialah dengan membawa masuk Mario Balotelli ketika siapa pun tidak sanggup untuk mengendalikan pemain bermasalah sepertinya.

Bukan sahaja Balotelli gagal menyamai kejayaan yang dibawa oleh Suarez, malah wang hasil daripada penjualan Suarez dibelanjakan untuk membeli Lovren dan Markovic yang setiap seorang daripada mereka berjumlah £20 juta, £12 juta lagi untuk membawa masuk Alberto Moreno, lagi £25 juta untuk Adam Lallana dan £10 juta untuk Emre Can.

Kesemuanya adalah pemain berbakat yang masih belum digilap sepenuhnya dan kemuncak karier mereka masih lagi jauh di belakang berbanding pemain seperti Suarez.

Dengan mensasarkan pemain berpotensi tapi belum terbukti berhasil daripada pemain yang telah terbukti cemerlang dan berkesan, Liverpool akhirnya menjadi mangsa kepada polisi mereka sendiri.

Ini dengan sendirinya mencetuskan tanda tanya, jika jawatankuasa ini bertanggungjawab membawa masuk pemain, tanggungjawab terakhir jatuh ke atas bahu siapa?

Yang jelas sekarang, mangsanya ialah Rodgers walaupun hakikatnya ialah kegagalan Liverpool bukan secara mutlak menjadi bebanan Rodgers.

Namun hakikat dalam dunia bolasepak ialah, pengurus dilantik dan boleh dipecat bila-bila masa oleh pemilik kelab.

Atas sebab ini jugalah mengapa kebanyakan pengurus yang berpengalaman sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan kelab baru mereka, menekankan supaya dimasukkan ke dalam kontrak bahawa tanggungjawab menjual dan membeli pemain adalah menjadi hak mutlak diri mereka sepenuhnya kerana risiko mereka dipecat sekiranya gagal adalah sangat besar.

Dalam kes Rodgers ini, jelas sekali, tanggungjawab membawa masuk pemain baru bukanlah tanggungjawab dirinya seorang tetapi sebuah jawatankuasa pembelian pemain namun yang kena pecat setelah gagal adalah dia.

Ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga buat Rodgers di dalam kariernya sebagai pengurus kelab bolasepak.

Tidak mungkin pada masa hadapan dia sanggup menerima keadaan sepertimana yang dia telah hadapi di Anfield.

Artikel Sebelum

FIFA Denda FAM RM180,000

Artikel Lain