suria

Empat Perlawanan Piala Malaysia Pada Sabtu Ditunda

Keadaan jerebu yang tebal di Stadium Shah Alam menyebabkan perlawanan Piala Malaysia antara PDRM dan Pahang pada Sabtu terpaksa ditunda. Foto RAJA FAISAL / The Star

KUALA LUMPUR: Empat perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2015 yang dijadual malam ini terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 iaitu tahap tidak sihat.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang memegang hak penganjuran Piala Malaysia 2015 dalam satu kenyataan pada Sabtu, memaklumkan komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan berkenaan kerana bimbang keadaan jerebu ketika ini boleh memudaratkan pemain di venue terlibat.

Perlawanan yang ditangguh ialah aksi kumpulan A antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu dan aksi kumpulan B antara Angkatan Tentera Malaysia dan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua perlawanan kumpulan D turut ditunda membabitkan pertemuan antara PDRM dan Pahang di Stadium Shah Alam serta perlawanan PKNS FC dan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Susulan penundaan perlawanan berkenaan, hanya satu perlawanan akan berlangsung malam Sabtu membabitkan pertemuan dalam kumpulan C antara T-Team dan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia akan menentukan tarikh baharu untuk empat perlawanan berkenaan diadakan semula.

Untuk rekod, perlawanan kumpulan A Piala Malaysia antara JDT II dan Kedah di Johor Baharu pada 26 September lepas turut ditunda kerana masalah jerebu.

FAM, jerebu, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain