suria

Ranking FIFA: Kedudukan Malaysia Jatuh Ke-171, Kim Swee Tetap Positif

KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking bola sepak Malaysia terus jatuh di tempat ke-171 dunia dalam senarai terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.


Posisi terbaharu itu sekaligus menjadi rekod paling buruk dalam sejarah bola sepak negara berbanding yang dicatat pada tahun 2008 di kedudukan ke-170.

Jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mengakui kedudukan terkini ranking bola sepak negara itu amat menyedihkan.

"Sudah tentu ia sesuatu yang amat menyedihkan dan mengecewakan semua pihak apabila kedudukan Malaysia dalam ranking terbaharu FIFA, hari ini (Khamis) turun dua anak tangga ke kedudukan tangga 171 dunia, kedudukan terburuk Malaysia dalam sejarah ranking FIFA sejak tahun 1993.

"Tapi pada masa sama, kita bernasib baik juga kerana mempunyai dua perlawanan antarabangsa dalam masa terdekat iaitu bertemu Laos untuk aksi persahabatan A di Bangkok, Thailand pada 8 Oktober ini dan perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober.

"Jadi kita perlu mengambil sepenuhnya peluang daripada dua perlawanan ini untuk mendapatkan seberapa banyak mata ranking yang boleh dan jika kita menang kedua-duanya, sudah tentu kedudukan ranking kita akan dapat diperbaiki dengan baik berbanding kedudukan di tangga 171 ketika ini,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis malam.

Kim Swee berkata, dengan kedudukan ranking ini bukan alasan untuk menunding jari kepada sesiapa dan semua perlu bangkit lebih berusaha.

"Kita tak perlu menyalahkan sesiapa tetapi saya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki ranking Malaysia bermula dengan aksi bertemu Laos dan Timor Leste ini.

"Harapan saya, dua perlawanan seterusnya bertemu Laos dan Timor Leste ini perlu dijadikan sebagai titik kebangkitan untuk skuad kebangsaan kembali melakar kemenangan selepas kita belum memenangi sebarang perlawanan sepanjang tahun 2015 ini.

"Jika kemenangan mampu dicatat ketika bertemu Laos dan Timor Leste, sudah tentu apabila kemaskini seterusnya ranking FIFA pada 5 November ini akan menyaksikan Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan terburuk tangga 171 ini.

"Ia sekali gus mampu untuk dijadikan suntikan moral terpenting menjelang dua perlawanan berikutnya untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Palestin dan UAE pada 12 dan 17 November ini,” jelas Kim Swee.

Ranking Malaysia, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain