suria

Insiden Doktor Carneiro: FA Dapati Mourinho Tidak Bersalah

PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan selepas Persatuan Bola Sepak England (FA) mendapati beliau tidak bersalah atas dakwaan membuat komen berunsur diskriminasi terhadap bekas doktor pasukan itu, Eva Carneiro.

Mourinho dan Carneiro dilaporkan bertikam lidah di tepi padang pada hujung perlawanan pembukaan antara The Blues dengan Swansea.

Pengurus berusia 52 tahun itu mengecam Carneiro dan ahli fisioterapi, Jon Fearn kerana berlari memberi rawatan kepada Eden Hazard pada perlawanan tersebut.

Keadaan Hazard menyebabkan terpaksa keluar padang dan sekali gus menyaksikan Chelsea hanya sembilan pemain buat sementara.

Carneiro akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut.

Timbul dakwaan bahawa Mourinho menggunakan bahasa kesat terhadap Carneiro.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FA, mereka memaklumkan telah melantik pakar akademik bebas dalam bahasa Portugal untuk menganalisis rakaman insiden tersebut termasuk rakaman audio.

"Selepas menerima laporan dari ahli pakar, FA berpuas hati bahawa bahasa yang digunakan bukan bahasa diskriminasi di bawah peraturan FA.

"Tambahan pula, kedua-dua perkataan yang digunakan, seperti yang diterjemahkan dan dianalisis oleh ahli akademik bebas itu, dan bukti video, tidak menyokong dakwaan bahawa perkataan tersebut ditujukan kepada individu tertentu.

"Oleh itu berdasarkan keterangan yang ada padanya, FA tidak akan mengambil sebarang tindakan susulan berhubung insiden tersebut," menurut kenyataan dikeluarkan FA.

Sekiranya didapati bersalah, Mourinho boleh dikenakan hukuman larangan lima perlawanan di bawah peraturan E3 FA yang menyebut mana-mana pemain atau pengurus boleh dikenakan tindakan kerana menggunakan perkataan kesat dan bahasa atau isyarat berbentuk penghinaan.

Terdahulu, Carneiro, yang lahir di Gibraltar dan mempunyai ayah berbangsa Sepanyol manakala emaknya berbangsa Inggeris, mengucapkan terima kasih di laman Facebook miliknya kepada mereka yang memberikannya sokongan selepas kejadian itu namun belum membuka mulut terhadap apa yang berlaku.


Jose Mourinho, Eva Carneiro, Chelsea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain