suria

Kyrgios Tarik Minat Penonton Dengan Gaya Tersendiri

Aksi pertama Kyrgios pada Terbuka Kuala Lumpur tahun lalu.
NICK Kyrgios antara nama yang menjadi tumpuan pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia (MOKL) 2015 yang kini sedang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


Kyrgios dilahirkan di Australia memiliki darah campuran Malaysia-Greece dengan ibunya, Norlaila adalah rakyat Malaysia menjadi tumpuan peminat-peminat tenis temptan pada penampilan pertamanya di Kuala Lumpur tahun lalu.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila terkandas di pusingan pertama kepada Marinko Matosevic yang juga rakan senegaranya.

Pada edisi ketujuh MOKL 2015 kali ini sekali lagi menyaksikan Kyrgios hadir dengan aksi yang lebih mantap malah bakal beraksi dalam saingan suku akhir pada Jumaat bertemu pemain veteran dari Croatia, Ivo Karlovic, 36, yang kini berada di ranking ke-18 dunia.

Pemain muda yang dianggap berpotensi untuk menguasai kedudukan terbaik dunia satu hari nanti ini tidak mengambil masa yang lama untuk berada dalam kelompok terbaik dunia selepas bergelar pemain profesional pada tahun 2013 dengan menduduki ranking terbaik dunia ke-25 pada Jun tahun ini.

Kyrgios yang kini menghuni kedudukan di tangga ke-41 dunia turut membuat kejutan tahun lalu  apabila mara ke suku akhir Wimbledon selepas menyingkirkan Rafael Nadal di pusingan keempat.

Disebalik prestasi mendadak pemain yang mempunyai ketinggian 193 sentimeter ini dianggap sebagai seorang pemain yang berani walaupun masih baharu dalam dunia tenis profesional.

Corak permainannya  yang agresif sentiasa mendapat perhatian. Malah bekas pemain nombor satu British, John Lloyd menggambarkan Kyrgios sebagai ‘penghibur’ kerana campuran gaya permainan dan mempunyai kebolehan melakukan sesuatu di jangkaan sekaligus mampu menarik minat penonton tertumpu kepadanya.

Namun sikapnya yang kebudak-budakan menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi termasuk komennya mengenai teman wanita Stan Wawrinka yang dianggap amat memalukan pemain Switzerland itu ketika aksi Piala Roger baru-baru ini.

Gaga-gara kejadian itu, Kyrgios didenda $10,000 (RM44,028) oleh Persekutuan Pemain Tenis Profesional (ATP).

Bagaimanapun  juara sembilan kali beregu Wimbledon, Todd Woodbridge yakin Kyrgios akan menjadi pemain yang lebih matang dari masa ke semasa.

Selain itu, Kyrgios mengakui dia menjadikan Roger Federer sebagai idolanya untuk berjaya dalam kariernya ini.

“Saya selalu menonton dia bermain di televisyen atau di YouTube. Bagi saya dia adalah seorang pemain paling hebat sepanjang masa.

“Dia adalah satu-satunya ‘role model’ yang saya ada, gaya dia beraksi di gelanggang dan juga sikapnya yang suka menolong orang lain,” jelas anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini.

Nick Kyrgios

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain