suria

Beberapa Pasukan Pilihan Kalah Pada Aksi Piala Malaysia 2015

Pemain Pulau Pinang, Mohd Failee (depan) meraikan kejayaannya membolosi pintu gol pasukan Pahang pada aksi Piala Malaysia 2015. -ZAINUDIN AHAD/The Star

KUALA LUMPUR: Kejutan berlaku pada aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia 2015 selepas beberapa pasukan pilihan termasuk juara bertahan, Pahang, kalah kepada lawan masing-masing.

Pahang yang juga naib juara Liga Super gagal mempertahankan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan D selepas kalah mengejut 1-4 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Empat gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Mohd Failee Ghazali pada minit ke-38 dan minit ke-47, Mohd Azinee Taib (minit ke-81) dan Alberto Goncalves, selang tiga minit kemudian manakala Pahang meraih gol tunggal menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-41.

Dalam saingan Kumpulan B, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan sulung selepas mengalahkan Perak 2-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Jerry Palacios pada minit ke-39 dan Venice Elphi pada minit ke-89.

Turut mencatat kemenangan sulung adalah pasukan T-Team yang mencipta kejutan selepas mengalahkan juara dua kali, Kelantan 3-1 pada aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mohd Zulhanizam Shafine meledak dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-14 dan minit ke-21 serta Tomislav Busic pada minit ke-30 manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Gilmar Da Silva pada minit ke-87.

Satu lagi aksi Kumpulan C antara Selangor dan Felda United di Stadium Shah Alam berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Safuwan Baharudin muncul wira pasukan Lions XII dari Singapura selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 aksi Kumpulan A berdepan Terengganu di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dengan gol pasukan Lions XII dijaringkan oleh Sahil Suhaimi pada minit ke-35 dan Safuwan pada minit ke-54 manakala Paulo Rangel meledak dua gol untuk Terengganu pada minit keempat dan minit ke-44.

Tiga perlawanan peringkat kumpulan yang terpaksa ditunda disebabkan beberapa masalah termasuk perlawanan Kumpulan A antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu akibat jerebu.

Perlawanan Kumpulan B antara Sarawak dan JDT turut ditunda memandangkan JDT terlibat dengan aksi separuh akhir Piala AFC menentang wakil Kuwait, Qadsia SC selain aksi Kumpulan D antara PDRM dan PKNS FC di Stadium Shah Alam yang ditunda disebabkan pertindihan venue.

Piala Malaysia 2015

Artikel Lain