suria

Lebih Lapan Juta Peserta Terlibat Dalam Hari Sukan Negara - Khairy

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Lebih lapan juta rakyat Malaysia akan menyertai acara Hari Sukan Negara pertama yang akan diadakan pada 10 Oktober.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kira-kira lima juta pelajar akan mengambil bahagian bersama dengan atlet negara.

Malah katanya, penghuni penjara juga akan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sukan memandangkan pihak penjara menyokong inisiatif itu.

"Ini akan menjadi acara tahunan untuk mengubah negara ini menjadi negara sukan dan membangunkan sukan sebagai satu cara hidup dan budaya di kalangan rakyat Malaysia," kata Khairy.

Bercakap pada pelancaran Hari Sukan Negara di outlet RSH Stadium di Mid Valley Megamall di sini, Khairy berkata peruncit juga akan turut serta dalam Hari Sukan.

"Kita juga mempunyai penyertaan peruncit dan pembekal pengangkutan awam dalam karnival jualan selama seminggu dan pertandingan lain untuk memenangi hadiah-hadiah dan diskaun," katanya.

Tambahnya, kira-kira 306 outlet daripada 12 peruncit utama sukan akan menawarkan purata 50 peratus diskaun ke atas pakaian sukan terpilih.

Khairy berkata kira-kira 10,000 program telah diatur dan akan diselaraskan oleh Majlis Sukan Negara.

Tambahnya, kementerian, sekolah, agensi kerajaan negeri, jabatan dan sektor swasta akan mengadakan aktiviti-aktiviti mereka sendiri untuk menyokong acara tersebut.

Tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelancaran Hari Sukan Negara.

Acara ini akan diadakan setiap tahun pada setiap Sabtu kedua bulan Oktober.

Artikel Lain