suria

Malaysia Semakin Hampir Tempah Slot Ke Pusingan Akhir Kejohanan AFC B-16

KUALA LUMPUR: Skuad remaja negara semakin hampir menempah slot ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 Bawah 16 Tahun selepas membelasah Filipina 7-0 pada aksi ketiga kempen kelayakan Kumpulan G di Stadium Nasional Laos pada Jumaat.

Malaysia hanya memerlukan seri dalam aksi terakhir kumpulan berdepan tuan rumah Laos pada Ahad ini, bagi mengesahkan tempat ke pusingan akhir kejohanan berkenaan yang akan berlangsung di India, tahun depan.

Pada perlawanan hari ini, Malaysia mendahului 4-0 pada separuh masa pertama, melalui jaringan gol sendiri pemain Filipina Prichi Roy James pada minit ke-26 dan tiga gol menerusi Aliff Haiqal (minit ke-32), Muhammad Iqbal Hakem (minit ke-36) dan Muhammad Izreen, enam minit kemudian, demikian menurut laman web AFC, www.the-afc.com.

Selepas permainan bersambung, Malaysia menambah tiga gol lagi menerusi Zainul Arifin pada minit ke-74 serta pemain gantian Muhammad Alif Safwan pada minit ke-67 dan 70.

Juara setiap 11 kumpulan dan empat pasukan terbaik di kedudukan kedua  kumpulan pada pusingan kelayakan, akan layak beraksi di pusingan akhir, untuk menyertai India yang meraih slot automatik sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan.
AFC B-16

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain