suria

"Sama-Sama Kita Jaga Malaysia" - Pandelela

SELAMAT menyambut Hari Malaysia! Semoga kita semua hidup aman damai dan penuh perpaduan dengan pelbagai masyarakat majmuk, begitulah luahan rasa penerjun Olimpik negara, Pandelela Rinong.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 22 tahun ini mengakui bertuah memandangkan dalam tempoh sebulan, Malaysia menyambut dua tarikh bersejarah negara.

“Pada 31 Ogos lalu kita menyambut Hari Merdeka yang ke-58, dan hari ini kita menyambut Hari Malaysia.

“Tentunya  saya terlebih teruja kerana 16 September merupakan tarikh keramat penyertaan Sabah, Sarawak bagi membentuk negara Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi mStar online.

Pun begitu, Pandelela menegaskan hari bersejarah ini perlu dijaga kerana bukan mudah untuk semua rakyat Malaysia berdiri seperti hari ini.

“Bagi saya kita perlu ingat pengorbanan pejuang-pejuang negara dahulu sehingga Malaysia terbentuk. Apa yang penting kita jagalah keamanan yang ada sekarang. Tidak kira bangsa dan agama, kita sama-sama berganding bahu menaikkan nama negara,” jelasnya yang kini sibuk menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Terjun Grand Prix Malaysia, Oktober ini.

Gadis keturunan Bidayuh ini antara permata sukan negara yang melakar kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik di London 2012.

Malah selepas empat tahun mencipta nama sebaris dengan atlet-atlet terjun dunia lain, Pandelela sekali lagi mencipta rekod tersendiri apabila tampil sebagai atlet Malaysia pertama yang layak ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro tahun depan.

Kejayaan ke Brazil itu hadir apabila Pandelela meraih tempat kelapan daripada 18 penerjun dalam acara 10 meter platform separuh akhir wanita untuk layak ke saingan akhir bersama 12 atlet pada Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia Julai lalu.

Hari Malaysia, Pandelela Rinong

Artikel Lain