suria

Piala Malaysia: Pahang Bekerja Keras Tumpaskan PDRM

Penyerang Pahang Azammuddin Mohd Akil (tengah) tersenyum ketika dipeluk rakan sepasukan Matias Ruben Conti selepas menjaringkan gol kedua peribadi ketika menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada perlawanan Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Makmur, Sabtu malam. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Pahang terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi pertama Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu malam.

Pemain kebangsaan, Mohammad Azamuddin Mohammad Akil beraksi cemerlang apabila menjaringkan hatrik buat skuad 'Tok Gajah' pada minit kedua, ke-34 dan ke-64.

Skuad 'The Cops' pula memperoleh jaringan menerusi penyerang import dari Mali, Dramane Traore pada minit ke-12, Ashfaq Ali (ke-71) dan Jaime Celestino Dias Braganca (ke-74) untuk kedudukan terikat 3-3, sebelum penyerang berbisa Pahang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme mengesahkan kemenangan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-79.

Pada satu lagi aksi Kumpulan D, pasukan PKNS FC memanfaatkan peluang selepas pengadil, Ku Alauddin Ku Muhammad melayangkan kad merah kepada Hilton Mauro Moreira pada minit ke-21 kerana mengasari pemainnya, P. Gunalan untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas pasukan tuan rumah, Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Pasukan pelawat membuka jaringan melalui Mohd Nazrin Syamsulbahri pada minitke-17 sebelum Gabriel Miguel Guerra menggandakan jaringan pada minit ke-18 sebelum Mohd Nizam Abu Bakar melengkapkan kemenangan bergaya PKNS FC pada minit ke-54 untuk menghuni tangga teratas kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan berbanding Pahang.

Dalam aksi Kumpulan C, Kelantan beraksi cemerlang apabila menumpaskan Selangor 3-0 di Stadium Shah Alam. Tiga gol skuad 'The Red Warriors' dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil, Gilmar Da Silva pada minit ke-26 dan ke-53, manakala satu gol lagi menerusi pemain import dari Nigeria, Austin Amutu pada minit ke-49.

Pasukan kelab Liga Super, Felda United FC (FUFC) turut melakar kemenangan3-0 ke atas T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam satu lagi aksi Kumpulan C.

Pemain import dari Australia, Ndumba Makeche meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-35 sebelum Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan melalui sepakan penalti tiga minit kemudian. 

Makeche melebarkan jurang gol apabila menyumbat masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-70 untuk memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad 'The Settlers'.

Pada saingan Kumpulan A pula, keempat-empat pasukan berkongsi satu mata apabila kedua-dua perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri.

Juara Piala FA 2015, Lions XII gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan juara Liga Perdana 2015, Kedah di Stadium Jalan Besar.

Skuad 'Helang Merah', bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Sandro da Silva Mendonca pada minit ke-16 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Shahdan Sulaiman, dua minit kemudian. Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang turun tanpa dua tonggak import di barisan serangan, Paulo Rangel dan Issey Farran Nakajima akibat digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), gagal meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Sarawak pula menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Negeri, menerusi jaringan tunggal Joseph Kalang Tie pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B pada Jumaat , naib juara Piala Malaysia tahunlepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Mohd Safee Sali pada minit ke-17dan S.Chanturu pada minit ke-21.

Skuad Harimau Selatan mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringanberbanding Sarawak.-Bernama

Pahang, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain