suria

Malaysia Juara Keseluruhan Silat Antarabangsa Terbuka

Pasukan pesilat Malaysia (dari kiri) Siti Zubaidah Che Omar, Noor Farhana Ismail, Mohd Fauzi Khalid, Mohd Al-Juferi Jamari dan Muhamad Faizul M Nasir muncul juara setelah menewaskan pasukan Thailand pada acara silat olahraga berkumpulan kategori F sempena Kejuaraan Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Titiwangsa, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 9 hingga 12 September ini.

Skuad negara mengumpul 10 pingat emas, masing-masing empat menerusi acara silat tanding lelaki dan wanita, satu menerusi acara silat seni wanita dan satu daripada acara berpasukan yang berlangsung Sabtu.

Selain itu, mereka turut meraih satu pingat perak dan gangsa dalam kategori tanding lelaki.

Naib juara dimenangi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan tiga emas, satu perak dan empat gangsa diikuti Thailand dengan satu emas, tiga perak dan dua gangsa.

Skuad negara meraih emas ke-10 dalam acara berpasukan selepas menundukkan Thailand 4-1 dalam perlawanan akhir yang turut disaksikan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Skuad negara hampir memperolehi kemenangan percuma apabila Thailand menarik diri kerana tidak puas hati dengan keputusan wasit terhadap jatuhan yang dibuat pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari ketika menentang Adilan Cek Meng.

Namun, selepas berbincang dengan beberapa pegawai pertandingan di samping mendapat sokongan penonton yang mahukan pesilat Thailand meneruskan aksi mereka, Adilan kembali ke gelanggang dan pertukaran wasit juga dilakukan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Mohd Al-Jufferi membuktikan beliau memang tiada tandingan apabila menundukkan Adilan 5-0, sebelum Siti Zubaidah Che Omar mengutip mata kedua negara selepas menewaskan Ploytika Amloy 5-0.

Mohd Fauzi Khalid meneruskan kecemerlangan skuad negara apabila mengutip mata ketiga selepas mengalahkan Kuibrohem Kubaha sebelum Noor Farahana Ismail tewas kepada Firdad Duromae untuk memberi mata tunggal kepada Thailand.

Muhamad Faizul M. Nasir mengesahkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Tien Terapong.

Sementara itu, Mohd Al-Jufferi dan Siti Humairah Kasidin dinobatkan sebagai pesilat lelaki dan wanita terbaik kejohanan.-- Bernama



silat, Stadium Titiwangsa

Artikel Berikut

Artikel Lain