suria

Al Amin CDM Sukan Olimpik 2016, Marina Chin Sukan SEA 2017

Marina Chin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Dr. Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid dipilih sebagai Chef de Mission (CDM) Kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, manakala bekas ratu pecut negara Datuk Marina Chin akan mengetuai kontinjen Sukan SEA 2017.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan rasminya pada Jumaat.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Menurut Khairy, pemilihan Mohamed Al Amin kerana pengalaman luasnya dalam badan sukan termasuk menyandang jawatan dalam BAM, selain Naib Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC), sektor swasta dan kerajaan.

Pelantikan Marina, yang juga Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan sebagai CDM Sukan SEA 2017 pula dibuat kerana beliau percaya bekas atlet kebangsaan itu mempunyai kemampuan menaikkan semangat atlet negara untuk menjadi juara.

Marina adalah atlet negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan olahraga di peringkat serantau dan Asia malah pernah mencatat rekod kebangsaan dalam acara lari berpagar 100 meter (m), 200m dan 400m pada tahun 1970-an.

Beliau turut memenangi acara larian pecut 100m dan 200m dalam Sukan SEA pada 1977, dan 100m berpagar untuk Malaysia dalam Sukan SEA 1979 di Jakarta.

“Saya berharap pengumuman ini dapat meniupkan semangat wira-wira negara untuk mengerah sepenuh tenaga bagi mengibarkan Jalur Gemilang dalam Sukan Olimpik 2016 dan Sukan SEA ke-29 di tanah air kita sendiri,” kata Khairy dalam kenyataan itu.

Semasa Sukan SEA 2017, Malaysia meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan manakala sasaran untuk Sukan Olimpik 2016 masih belum ada dibuat.

Untuk rekod, semasa Sukan Olimpik 2012 di London, kontinjen Malaysia hanya membawa pulang satu pingat perak menerusi pemain perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan satu gangsa dihadiahkan oleh ratu terjun Pandelela Rinong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain