suria

Tengku Abdullah Lepas Jawatan Presiden FAM, Mahu Perbetul Keadaan Sebelum Berundur

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

PETALING JAYA: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) namun mahu memperbetulkan keadaan terlebih dahulu sebelum mengundurkan diri.

Tengku Abdullah berkata, beliau akan menyerahkan tugasan itu kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan ahli jawatankuasa dalam tempoh setahun dan Afandi akan memangku jawatan Presiden FAM.

"Walaupun saya tidak suka mengecewakan semua pihak yang menyeru untuk perletakan jawatan serta-merta saya, saya mempunyai kewajipan profesional untuk meninggalkan FAM selepas sekurang-kurangnya meletakkan ia dalam kedudukan yang dihormati. 

"Perkara terakhir yang saya tidak mahu adalah untuk pengganti saya mewarisi kapal yang sedang tenggelam di mana situasi itu akan menjadikan saya dilihat sebagai seorang tidak adil dan tidak profesional. Oleh itu, saya dipaksa oleh etika profesional saya untuk membetulkan keadaan sebelum saya berundur.

"Tetapi yakinlah, walaupun tempoh saya menjadi presiden tamat pada 2018, saya menyerahkan tugasan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi dan ahli jawatankuasa dalam tempoh setahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Keputusan untuk meletakkan sebagai Presiden FAM susulan kekalahan memalukan skuad negara 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada Khamis minggu lalu.

Tengku Abdullah berkata, keputusannya pada 7 September lalu untuk meletakkan jawatan itu merupakan keputusan yang paling sukar buat beliau sebagai seorang pegawai bola sepak.

"Ia bukannya mudah kerana saya terpaksa meletak jawatan sebelum aspirasi dan impian saya untuk bola sepak Malaysia dipenuhi.

“Walau bagaimanapun rentetan kekalahan yang memalukan oleh pasukan kebangsaan, adalah terlalu besar bagi saya untuk mengekalkan kedudukan saya sebagai pemimpin.

“Malang sekali, kecekapan kami dinilai oleh kejayaan atau kegagalan pasukan kebangsaan. Mungkin ia kelihatan seperti tidak adil, tetapi ini adalah realiti keadaan, dan saya terpaksa menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.

Tengku Abdullah berkata, hasrat untuk meletakkan jawatan sebenarnya telah pun dimaklumkan pada 10 Julai lalu kepada jawatankuasa eksekutifnya sekiranya Malaysia tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE 2019. 

Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada unsur-unsur Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk beliau sendiri.

"Walau bagaimanapun kekalahan baru-baru ini terlalu mengecewakan dan memaksa saya untuk mempercepatkan perletakan jawatan ini.

"Bola sepak akan sentiasa menjadi sebuah sukan yang dekat di hati saya. Ia mungkin kelihatan tidak banyak sekarang, tetapi pada setahun yang singkat ini, sebagai presiden saya telah meletakkan pelan untuk kebaikan bola sepak Malaysia, dan saya berharap satu hari nanti, kita semua akan dapat melihat hasil kerja saya," ujar Tengku Abdullah.

Artikel Berikut

Artikel Lain