suria

Insiden Baling Suar: FAM Bekerjasama Dengan Polis

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang bekerjasama dengan pihak polis Daerah Shah Alam mengenai insiden kekecohan di Stadium Shah Alam pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi pada Selasa malam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata Pesuruhjaya Perlawanan turut telah menyerahkan laporannya kepada pihak Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengenai perlawanan tersebut awal pagi Rabu.

"FAM memandang serius terhadap isu keselamatan stadium terutamanya mengenai isu keselamatan kesemua pihak termasuklah penonton, pemain dan pegawai yang berada di stadium.

FAM akan menunggu keputusan FIFA berhubung perkara ini dan akan mengumumkan keputusan berkenaan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Sebelum perlawanan itu dihentikan, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1. Skuad Harimau Malaya meraih jaringan tunggal itu menerusi jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim.

Perlawanan tersebut terpaksa dihentikan oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong pada minit ke-88, berikutan tindakan liar segelintir penyokong yang bertindak membaling suar dan mercun roket ke kawasan padang.

Berdasarkan peraturan, FIFA boleh membuat keputusan sama ada meneruskan perlawanan berbaki dua minit itu, atau memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi.

FAM, Polis

Artikel Lain