suria

Khairy Jumpa FAM Selepas Perlawanan Malaysia-Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mengadakan perjumpaan khas dengan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas perlawanan antara skuad kebangsaan dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa malam.


Khairy berkata perjumpaan beliau dengan pengurusan tertinggi FAM itu hanya akan diadakan selepas perlawanan berkenaan bagi memastikan pemain skuad negara dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap pertemuan dengan Arab Saudi itu.

Beliau berkata perjumpaan itu adalah bagi membincangkan prestasi hambar yang ditampilkan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Kelayakan Piala Asia 2019, termasuk kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, minggu lepas.

"Saya tidak mahu mendahului perjumpaan dengan FAM. Saya akan minta laporan daripada mereka tentang apa yang (sedang) berlaku (kepada skuad Harimau Malaya)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Simposium Pembangunan Sukan Negara 2015 dan Program Persediaan Sukan SEA 2017, di Seri Kembangan, Isnin malam.

Khairy pada masa sama, turut meminta pengurusan tertinggi FAM termasuk barisan exconya supaya bertanggungjawab terhadap aksi hambar skuad Harimau Malaya ketika ini, sebagaimana yang disuarakan bekas Timbalan Presiden FAM TanSri Annuar Musa.

"Tidak hanya Presiden (FAM) yang perlu dipertanggungjawabkan tetapi seluruh kepimpinan FAM juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku," tegas Khairy.



khairy jamaluddin, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain