PBNS Gugur Pemain Liga Perdana, Perkenal Sistem Gaji Baharu - Sukan | mStar

PBNS Gugur Pemain Liga Perdana, Perkenal Sistem Gaji Baharu

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil langkah drastik menggugurkan semua pemain skuad Liga Perdananya termasuk ketua jurulatih, K Devan, selain memperkenalkan sistem gaji baharu untuk musim depan. 

Kecuali enam pemain Piala Presiden dalam skuad Liga Perdana musim ini yang dikekalkan, Negeri Sembilan bakal berwajah baru musim depan dengan jurulatih luar negara diburu serta empat pemain import yang tidak pernah beraksi di liga tempatan.

Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat pengurusan PBNS pada Selasa.

"Tindakan drastik ini diambil setelah kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan skuad kali ini. Kita telah berbelanja banyak tetapi tidak mendapat pulangan yang diharapkan. 

"Matlamat kita musim ini ialah untuk layak ke Liga Super musim depan tetapi malangnya saya tidak tahu di mana silapnya. Jadi untuk kebaikan semua, saya lepaskan semua orang termasuk ketua jurulatih K. Devan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Negeri Sembilan yang menduduki tempat keenam Liga Perdana musim ini, gagal melayakkan diri beraksi dalam Piala Malaysia setelah tewas 0-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan play-off di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor malam Selasa.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Rusa gagal membuat penampilan dalam saingan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut.

Mohamad berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk pemilihan pemain dan pegawai termasuk jurulatih musim depan dan mereka sudah diarahkan pergi sendiri ke negara yang sudah dikenal pasti untuk mendapatkan jurulatih dan pemain dengan harga berpatutan.

Mulai tahun depan juga, kata Mohamad, PBNS akan memperkenalkan satu sistem korporat di mana pemain tidak diberi gaji tinggi sebaliknya gaji pokok serta elaun kemenangan.

"Sebagai contoh setiap kali menang kami akan beri RM50,000 dan dibahagikan kepada pemain. Jadi, ianya seperti insentif kemenangan. Jadi, nak duit, pemain perlu menang. 

"Saya percaya cara ini lebih berkesan kerana ianya lebih kepada insentif daripada gaji pokok. Bila gaji terlalu banyak (tinggi), mereka tiada lagi semangat untuk bermain. 

"Malah, kadang-kadang mereka sengaja cedera kerana gaji dah banyak. Jadi, dengan elaun kemenangan ini, siapa yang bermain sepenuh masa dapat elaun penuh, yang main separuh masa dapat setengah dan mereka yang menjadi pemain simpanan, tidak mendapat apa-apa," katanya.

Menurut Mohamad, cara ini juga akan mewujudkan saingan sesama pemain untuk merebut tempat dalam pasukan utama.

Katanya ekoran tindakan menggugurkan pemain Liga Perdana itu, PBNS kini mempelawa pemain muda bawah 21 tahun di seluruh negara untuk beraksi dengan Negeri Sembilan musim depan.

"Kita akan membuat pemilihan dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi pejabat PBNS 06-7628494 pada waktu pejabat," katanya.

PBNS , Mohamad Hasan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Artikel Lain