suria

ATM, JDT II Layak Ke Piala Malaysia 2015

Pemain ATM Abdulfees Abd Salam (tengah) dihalang oleh dua pemain Negeri Sembilan Ahmad Fauzi Saari (kiri) dan Aziz Mat Rose (kanan) pada perlawanan Play off Piala Malaysia 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa malam. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mengesahkan tiket untuk beraksi dalam Piala Malaysia 2015 selepas mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan kalah mati, Selasa malam.

ATM menewaskan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix menerusi kemenangan selesa 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian K. Devan itu gagal membuat penampilan dalam saingan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut.

Penyerang import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam muncul wira pasukan ATM menerusi dua jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti dan gol padang pada minit ke-62 serta gol daripada Abdul Shukor Jusoh pada minit ke-38.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan JDT II menerima tentangan sengit daripada pasukan Liga Super, Sime Darby FC sebelum menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Shafiq Shaharudin pada minit ke-45 perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan ATM dan Sime Darby FC mengiringi 14 pasukan lain iaitu 10 pasukan Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana untuk majlis undian kumpulan Piala Malaysia 2015 di salah sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Khamis ini.

Senarai pasukan Piala Malaysia 2015:

Pasukan Liga Super: Johor Darul Ta'zim, Pahang, Selangor, Terengganu, FeldaUnited, Polis Diraja Malaysia, Lions XII, Perak, Kelantan, Sarawak.

Pasukan Liga Perdana: Kedah, Pulau Pinang, T-Team, PKNS FC (Pemenang perlawanan kalah mati):ATM dan Johor Darul Ta'zim II. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain