suria

Ikon Bola Sepak Singapura, N Ganesan Meninggal Dunia

SINGAPURA: Ikon bola sepak Singapura, N.Ganesan, yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan "Kallang Roar" pada era 70-an dan 90-an meninggal dunia pada pagi Rabu.

Bekas Pengerusi Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) dan peguam itu telah berehat di rumah penjagaan yang terletak di Jalan Bukit Timah selepas mengalami strok pada 2011.

Ganesan menerajui FAS dari 1974 sehingga 1981, tempoh yang menyaksikan Singapura memenangi dua Piala Malaysia (1977 dan 1980).

Beliau disanjung kerana mewujudkan "Kallang Roar" apabila membuat keputusan untuk mengubah lokasi perlawanan Piala Malaysia dari Stadium Jalan Besar ke Stadium Nasional Kallang pada 1974.

Bekas bintang Singapura, Quah Lim berkata orang ramai ragu-ragu sama ada stadium itu mampu memuatkan penyokong yang ramai tetapi Ganesan mengambil risiko itu.

"Kami selama-lamanya terhutang budi kepada beliau kerana memulakan tempoh keemasan bola sepak Singapura.

"Seorang yang bersemangat, berani, dan mempunyai pengetahuan bola sepak yang tinggi seperti dia adalah sukar untuk dicari pada masa kini," kata Quah.

Ganesan yang telah berkahwin sebanyak dua kali dan tidak mempunyai anak, merumuskan satu kejayaan dalam Liga Bolasepak Kebangsaan apabila menyusun semula daripada 118 kelab kepada 30 kelab terkuat.

Beliau juga telah melancarkan Lion City Cup dan kejohanan bawah 16 tahun yang melahirkan bintang-bintang kebangsaan seperti Fandi Ahmad dan V. Sundramoorthy.

Selepas menghidapi Strok, beliau terpaksa menggunakan kerusi roda dan sebahagian besar masanya berada di atas katil serta mempunyai kesukaran untuk bersuara.

Beliau juga lebih gemar untuk menyorokkan keadaannya walaupun rakan karib seperti bekas pemain terbaik bola sepak Asia, Datuk Peter Velappan kerap melawat dan menghabiskan masa bersamanya dan berbual mengenai bola sepak.

Velappan yang memberi penghormatan kepada Ganesan berkata bola sepak Singapura telah kehilangan seorang pemimpin yang benar-benar dinamik dan kami menjadi kawan rapat semasa dia berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di AFC.

"Beliau adalah seorang individu yang sentiasa menunjukkan ketelusan, integriti, serta penuh dedikasi dan saya menghargai dan mengenang kesempatan untuk melihatnya walaupun selepas menghidapi strok," kata Velappan.

Singapura, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain