suria

Nasib Zulfahmi Ditentukan Selepas MotoGP Jerman

Zulfahmi Khairuddin

PETALING JAYA: Nasib pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bersama pasukan Drive M7 SIC Team, bergantung pada perlumbaan MotoGP Jerman di Litar Sachsenring, Dresden, Jerman pada 10 hingga 12 Julai ini.

Ini berikutan tindakan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi kata putus untuk pelumba kelahiran Banting, Selangor, itu meraih kedudukan dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada perlumbaan pusingan kesembilan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata pelumba itu berkemungkinan berdepan dengan tindakan drastik iaitu digugurkan daripada pasukan itu pada pertengahan musim MotoGP dunia.

Kecewa dengan persembahan hambar Zulfahmi pada musim ini, Razlan berkata beliau akan ke Jerman untuk menyaksikan sendiri aksi pelumba itu sebelum mengambil tindakan susulan.

"Walaupun kita memberi keutamaan kepada prestasi keseluruhan pasukan ketika ini, kita turut mengambil kira persembahan Zulfahmi. Kita akan buat penilaian yang teliti kerana ia melibatkan karier pelumba itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pusingan ke-10 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2015 yang akan berlangsung di Litar SIC,Sepang dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini.

Razlan berkata alasan masalah jentera KTM yang dibangkitkan oleh Zulfahmi sejak tahun lepas tidak boleh dijadikan satu alasan munasabah kerana semua pasukan yang menggunakan jentera sama, turut bergelut untuk meraih catatan masa terbaik.

"Kalau kedudukan (keseluruhan) beliau dekat dengan rakan sepasukan iaitu Jakub Kornfeil (dari Republik Czech) kita boleh terima, tapi beliau kini sudah ketinggalan jauh di belakang Kornfeil sebagaimana yang dilalui tahun lepas.

"Malah banyak pelumba rookie yang guna jentera lama mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding beliau," kata Razlan.

Zulfahmi kini menduduki tangga ke-25 daripada 28 pelumba keseluruhan dalam kelas Moto3 dengan kutipan dua mata manakala Kornfeil berada pada kedudukan ke-17 dengan kutipan 17 mata selepas mengharungi lapan perlumbaan musim ini.

Kedudukan ke-14 daripada 20 pelumba yang dicatatkan Zulfahmi pada pusingan kelima MotoGP Perancis di Litar Le Mans, Mei lepas, merupakan pencapaian terbaiknya untuk musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain