suria

Kecacatan Tidak Halang Adik Hamilton Sertai British Touring Car

Hamilton (kiri) bersama adiknya Nicolas.

JUARA dunia Grand Prix Formula Satu (1) musim lalu, Lewis Hamilton meluangkan masa membantu adiknya dalam persiapan menyertai perlumbaan British Touring Car.

Adiknya, Nicolas bakal menjadi pelumba Orang Kurang Upaya (OKU) pertama menyertai perlumbaan ini kerana mengidap penyakit palsi serebrum (masalah pergerakan, otot dan perkembangan otak).

Hamilton kini dalam tempoh rehat sebelum bermulanya perlumbaan F1 pusingan 5 di Sepanyol pada 10 Mei ini amat teruja selepas adiknya meminta nasihat mengenai perlumbaan.

Katanya, seperti ahli keluarga yang lain, Nicolas juga mempunyai perangai degil dan sukar menerima nasihat orang lain.

"Kami dari keluarga Hamilton yang sememangnya mempunyai perangai keras kepala. Kami mahu lakukan sendiri tanpa sebarang bimbingan.

"Ketika Nicolas masih kecil, saya sentiasa membimbingnya dan selepas usianya meningkat, dia mula berdikari.

"Tetapi kini kami kembali bersama selepas Nicolas meminta nasihat dari saya. Perasaan amat gembira dapat menolongnya.

"Saya sudah melalui pelbagai perlumbaan di peringkat dunia, jadi saya harap dengan pengalaman itu dapat membantunya untuk membuat keputusan tepat. Saya amat berbangga dengannya," jelas juara GP Australia, GP China dan GP Bahrain tahun ini.

Hamilton menjelaskan, adiknya seorang yang kuat.

"Jika terkena tumbukannya, kamu akan tahu kekuatannya. Tetapi saya sentiasa akan memastikan bahawa 'saya abang kamu'," tambahnya.

Lewis Hamilton, Nicolas Hamilton

Artikel Lain