suria

BAM Sasar Beregu Lelaki Di Ranking Ke-16 Terbaik Dunia - Frost

Morten Frost Hansen. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan beregu lelaki kebangsaan berada di ranking ke-16 terbaik dunia dalam tempoh setahun di bawah program penstrukturan semula pasangan beregu negara itu. 

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, program penstrukturan itu akan memberi fokus terhadap kejohanan-kejohanan yang bakal disertai serta gandingan dalam kalangan pasangan beregu tersebut.

Beliau berkata, menerusi pelan penstrukturan itu, beregu berada di ranking ke bawah akan didedahkan kepada lebih banyak Kejohanan Siri dan Cabaran Antarabangsa serta Kejohanan Grand Prix, di samping Kejohanan Grand Prix Emas yang akan menentukan kelayakan untuk penyertaan serta ranking mereka dalam sesuatu kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Ini bagi memastikan mereka meraih mata yang cukup untuk melonjakkan ranking mereka sebelum didedahkan kepada kejohanan peringkat lebih tinggi kerana, jika tidak mereka perlu beraksi di pusingan kelayakan pada setiap kali kejohanan. 

"Biasanya, kita beraksi di kejohanan yang kecil bagi membolehkan mereka mendapat mata ranking. Dalam tempoh setahun, kami mahu melihat tiga beregu utama negara dalam ranking ke-16 teratas dunia. Ia cabaran yang besar bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada jurulatih," katanya kepada pemberita di pejabat BAM, Bukit Kiara di sini, Isnin.

Pada masa ini, beregu utama Malaysia ialah Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang berada pada kedudukan ke-33 dalam ranking dunia BWF.

Beregu lelaki lain ialah Chooi Kah Ming/Ow Yao Han, Teo Kok Siang/Mak Hee Chun dan Tan Wee Gieen/Teo Ee Yi.

Sementara itu, Frost kagum dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan beregu wanita dan beregu campuran negara pada Kejohanan Badminton China Masters 2015.

Beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Li Ying memberi tentangan sengit kepada pasangan beregu dari China, sebelum terpaksa akur dengan kehebatan mereka pada perlawanan separuh akhir kejohanan tersebut, Sabtu lepas.

Vivian Hoo/Khe Wei tumpas kepada Tang Jinhua/Zhong Qianxin 21-23 dan 9-21, manakala Peng Soon/Li Ying mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum kalah 21-17, 17-21, 17-21 kepada pilihan utama Liu Cheng/Bao Yixin.

"Itu satu pencapaian yang sangat membanggakan daripada pasangan beregu negara. Saya sangat berpuas hati kerana prestasi mereka di luar jangkaan saya," kata Frost.

Artikel Berikut

Artikel Lain