suria

Pulau Pinang Unggul Terajui Liga Perdana

Pmain T-Team Faramola David Oniya (kanan) berjaya menghalang percubaan pemain Sabah Eamon Zayed dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua gol pada lewat permainan menerusi pemain import membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam Jumaat.

Kemenangan tersebut bukan sahaja menyaksikan skuad 'Harimau Kumbang'  mengambil alih kedudukan pendahulu dari Sabah, tetapi turut melebarkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan.

Ketinggalan seawal minit kedua perlawanan menerusi gol bekas penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, pasukan Pulau Pinang pantas bangkit menerusi jaringan Hilton Moreira dan Alberto Goncalves pada masa kecederaan.

Wakil kelab Terengganu, T-Team pula meraih kemenangan dramatik 4-3 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Empat gol skuad 'The Titans' dijaringkan oleh Farhod Tadjiev pada minit kelapan dan 45' selain gol sendiri pemain Sabah, Alto Linus dan Sadriddin Abdullaev pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Tiga gol skuad 'SabahRhinos' disumbangkan oleh penyerang import dari Australia, Joel Joseph Chianese pada minit kelima dan 16 serta gol Eamon Zayed pada minit ke-63.
 
Di Stadium Darul Makmur, wakil kelab dari Pahang, Kuantan FA yang merupakan juara Liga FAM 2014, meraih kemenangan sulung musim ini selepas menang tipis 2-1 ke atas DRB Hicom FC.

Skuad 'The Seagulls' bagaimanapun ketinggalan menerusi gol Ahmad Aminuddin Shaharudin pada minit ke-12 sebelum penyerang import dari Montenegro, Milan Purovic meledak dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-39 dan 84'.

Turut meraih tiga mata adalah pasukan kelab UiTM FC yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas pasukan tercorot liga, SPA Putrajaya FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Kepulangan semula pasukan Kuala Lumpur ke gelanggang keramat iaitu, Stadium Merdeka bagaimanapun gagal mengubah nasib mereka selepas kalah tipis 1-0 kepada Kedah menerusi gol Chidi Edeh pada minit ke-24.

Pasukan kelab, Selangor PKNS FC dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Pulau Pinang, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Saya Perlu Bermain - Falcao

Artikel Berikut

Artikel Lain