suria

Ujian Doping Mampu Tingkatkan Imej Sukan Negara - Nabil Fikri

Nabil ketika menunggang kudanya, Urgola pada kejohanan ekuestrian yang disertainya pada kejohanan antarabangsa di Johor, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Atlet ekuestrian negara, Mohd Nabil Fikri percaya langkah untuk memperketatkan proses ujian doping di kalangan wakil negara ke Sukan SEA akan membawa kesan positif kepada imej sukan Malaysia.

Beliau juga berpendapat, pelaksanaan ujian itu juga tentunya akan mendorong atlet untuk lebih mempersiapkan diri dan mengelak pengambilan sebarang bahan terlarang.

"Tentunya imej sukan negara akan lebih baik jika semua atlet yang bertanding pada kejohanan pertengahan tahun ini menjalani ujian doping, terutama selepas berlaku beberapa kes mengenai isu doping.

"Saya rasa Malaysia mempunyai ramai atlet yang berkaliber tetapi pengambilan ubat ubat terlarang sedikit sebanyak telah menjatuhkan prestasi mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Atlet berusia 28 tahun itu juga bersedia untuk menjalani ujian doping kerana menganggap ia tidak akan mengganggu masa latihan dan persediaan beliau menjelang Sukan SEA ini.

"Jika arahan itu dilaksanakan, ia pertama kali untuk saya menjalani ujian ini," katanya.

Pada Sukan SEA ini, Nabil akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan yang turut disertai dua ahli pasukannya semasa kejohanan sama pada 2011 iaitu Natasha Wan Idris dan Sharmini Ratnasingham, manakala Ahmad Imtaz Amir Hamzah yang akan membuat penampilan pertama.

Keputusan untuk mewajibkan ujian doping ke atas semua atlet yang bertanding di Sukan SEA diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika pelancaran Hari Sukan Negara yang telah diadakan pada Selasa lalu.

Langkah itu untuk memastikan ke semua atlet negara bebas daripada mengambil ubat-ubat terlarang yang akan memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka.

Chef De Mission Sukan SEA, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga bersetuju dengan peraturan baru yang telah ditetapkan.

Norza percaya semua pihak termasuk para jurulatih dan pengurusan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan atlet atlet negara mengambil ubat yang dibenarkan sahaja agar tiada isu yang terjadi dalam tempoh persediaan menjelang kejohanan tersebut.











ekuestrian, Nabil Fikri, doping

Artikel Berikut

Artikel Lain