suria

Penstrukturan Semula MSN, ISN Perlu Sokongan Kerajaan Negeri

KUCHING: Kerjasama semua kerajaan negeri dan agensi pembangunan sukan di peringkat negeri amat diperlukan dalam merealisasikan objektif penstrukturan semula Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Anggota Lembaga ISN Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata kerajaan negeri menerusi badan pembangunan sukan negeri memainkan peranan sangat penting dalam mengenal pasti atlet berbakat di peringkat akar umbi untuk digilap menjadi atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan kerja dan kunjungan hormat rombongan ISN terhadap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Misnu Taha di sini pada Isnin, Danyal berkata penstrukturan semula pembangunan dan pengurusan sukan negara membabitkan peranan ISN dan MSN.

Beliau berkata pihak ISN akan melawat setiap negeri untuk memberi penerangan mengenai transformasi sukan negara seperti yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

"ISN berperanan dalam pembangunan sukan negara dengan memfokuskan atlet daripada peringkat akar umbi serta memperbaiki mutu pengurusan dan aspek kejurulatihan.

"Oleh itu, ISN memohon kerjasama daripada semua kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi merealisasikan objektif itu," katanya.

Danyal berkata pencarian atlet berbakat di peringkat akar umbi memerlukan sokongan dan bantuan daripada setiap kerajaan negeri menerusi badan-badan sukan negeri masing-masing.

"Sarawak sebuah negeri yang luas, justeru pembangunan sukan peringkat akar umbi harus dilaksana secara menyeluruh. Ini bermakna peranan kerajaan Sarawak menerusi badan pembangunan sukannya akan menjadi lebih mencabar pada masa akan datang," katanya.

Danyal berkata ISN juga berperanan menggilap dan mengenal pasti atlet-atlet elit untuk disenaraikan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Misnu berkata kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) negeri akan meneliti pelan pembangunan sukan negara serta cadangan-cadangan yang dikemukakan khususnya daripada ISN.

Penstrukturan semula MSN dan ISN adalah langkah baharu untuk merencana program transformasi sukan Malaysia.

Pendekatan baharu itu melibatkan pembangunan atlet berprestasi tinggi yang dibahagi kepada dua kumpulan iaitu pengurusan program dikendalikan oleh MSN dan pengurusan prestasi oleh ISN.

Khairy berkata langkah itu diambil untuk memastikan kedua-dua agensi itu tidak bekerja dalam silo dan hala tuju masing-masing, sedangkan visi asasnya adalah sama.

MSN, ISN, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain