suria

Lima Pelumba Rebut Jersi Biru

KUALA LUMPUR: Pelumba pecut Itali Andrea Guardini daripada pasukan Astana dijangka menghadapi saingan sengit daripada 14 pelumba pecut lain pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015.

"Guardini memang kelihatan cukup bersedia bagi menghadapi permulaan musim ini. Tetapi, dia akan menghadapi cabaran getir daripada pelumba hebat lain terutama pelumba muda.

"Caleb Ewan dari Australia dan pelumba Itali, Jakub Marecko. Mereka ini bukan sahaja pantas, tetapi pasukan mereka - Orica-GreenEdge dan Southeast Pro Cycling telah membina keunggulan melalui latihan," kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL Datuk Malik Mydin dalam kenyataan pada Isnin.

Selain Guardini, pelumba pecut yang akan bersaing pada perlumbaan dari 8 hingga 15 Mac itu, ialah Alessandro Petacchi (Southeast Pro Cycling), Yauheni Hutarovitch (Bretagne-Seche Environnement), Chris Sutton (Sky), Adam Blythe (Orica-GreenEdge), Leonardo Duque (Team Colombia), Ahmet Orken dan Michal Kolar (Tinkoff-Saxo).

Pelumba pecut lain yang akan turut beraksi pada LTdL edisi ke-20 itu ialah Marco Benfatto (Androni-Venezuela), Paolo Simion (Bardiani CSF), Ken Hanson (Unitedhealthcare), Youcef Reguigui (MTN-Qhubeka), Park Sung Baek (KSPO) dan Mohd Hariff Salleh (TSG).

Guardini meraih jersi biru pada LTdL edisi 2011 dan 2012, manakala pelumba Terengganu, Anuar Manan muncul sebagai pelumba Asia pertama memenangi jersi itu pada 2010 ketika bersama pasukan Korea Selatan, Geumsan Ginseng.
 
Sementara itu, Malik mengucapkan terima kasih kepada Maju Group yang pertama kali menaja jersi biru untuk juara pecut bagi LTdL edisi ke-20 itu.

Maju Group adalah antara konglomerat terbesar dan paling kukuh di Malaysia, yang diterajui pengerusi eksekutif kumpulannya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

 "Kami amat bertuah apabila Maju Group menyertai keluarga LTdL dan sesungguhnya, sumbangan mereka akan menjamin kejayan perlumbaan ini, dengan Maju Group menjadi penaja jersi biru," katanya.

Dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd, LTdL edisi ke-20 akan meliputi jarak lebih 1,000km dan mengandungi lapan peringkat, dengan perlumbaan UCI 2HC (kategori hors) sekali lagi merupakan antara acara terbesar dalam kalender UCI Asia Tour.

LTdL 2015, jersi biru

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain