suria

Perak Ungguli Carta Liga Super

KUALA LUMPUR: Pasukan Perak memintas kedudukan Lions XII dari Singapura di persada Liga Super selepas mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Sabtu malam.

Dua gol skuad 'The Bos Gaurus' disumbang oleh kapten pasukan, Mohd Nasir Basharuddin pada minit ke-21 dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-53.

Kedudukan berkenaan dijangka berubah apabila Kelantan menerima kunjungan Lions XII pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, esok.

Perlawanan berkenaan yang sepatutnya diadakan malam ini, ditunda bagi menghormati pemergian bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia akibat kanser prostat pada Jumaat.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelab Felda United FC turut mengutip tiga mata penuh selepas membenam Sime Darby FC 3-0..

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaring oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-12, Makeche Ndumba (15') dan kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan pada minit ke-77.

Di Stadium Negeri, Kuching, pasukan Sarawak melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Terengganu.

Sarawak bermula cemerlang menerusi gol Billy Mehmet Osman pada minit ketiga sebelum Ashri Chuchu menggandakan kedudukan, dua minit kemudian.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel merapatkan defisit jaringan untuk Terengganu pada minit ke-14 sebelum Joseph Kalang Tie mengesahkan kemenangan mutlak Sarawak pada minit ke-39.

Dalam pada itu, Pahang gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat seri 1-1 menentang Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Penyerang import dari Argentina, Matias Conti meletakkan skuad 'Tok Gajah' di hadapan pada minit ke-58 sebelum Andik Vermansah menyamakan kedudukan untuk Selangor, enam minit kemudian.

Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak perlawanan selepas pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed kerana mengutip kad kuning kedua.

Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi di Stadium Shah Alam.

Penyerang import dari Gambia, Mohamadou Sumareh muncul wira skuad 'The Cops' menerusi jaringan tunggal pada minit ke-75.

Perak, Liga Super

Artikel Berikut

Keputusan Serie A

Artikel Lain