suria

MOM Ambil Keputusan Batalkan MIM 2015

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan membatalkan acara kontroversi, Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015 yang dicadangkan berlangsung di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, pada 23-24 Mei ini.

Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor seperti Mesyuarat Agung Tahunan MOM ke-34 pada 22 Ogos, Persidangan ke-128 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 27 Julai hingga 3 Ogos dan Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Justeru, beliau berkata MOM akan menyerahkan kepada pemegang jawatan yang dipilih pada mesyuarat agung kali ini sama ada untuk meneruskan acara itu atau tidak.

"Kami membuat keputusan itu selepas memikirkan bukan keutamaan kami buat masa ini. Maka, kami membuat keputusan membatalkan projek ini tetapi bergantung kepada pengurusan baru MOM sama ada untuk meneruskannya atau tidak," kata Tunku Imran.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM selama empat jam di Wisma MOM, Selasa.

"Persidangan OCI dan Sukan SEA merupakan keutamaan kami buat masa ini, terutamanya apabila pegawai sukan atasan dari seluruh dunia akan datang ke sini untuk membincangkan perkara yang berkaitan sukan antarabangsa," kata Tunku Imran.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata KOM tidak akan mengiktiraf acara itu dan mendakwa ia bertentangan dengan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mensyaratkan mana-mana kejohanan olahraga perlu mendapat sokongan badan induk olahraga sesebuah negara.

Larian yang menawarkan hadiah keseluruhan RM350,000 dianjurkan buat julung kalinya oleh MOM dengan matlamat mengutip dana bagi membantu persatuan sukan yang menghadapi kekangan kewangan.

Sementara itu, Tunku Imran berkata jumlah anggota kontinjen negara untuk Sukan SEA 2015 di Singapura akan dimuktamadkan pada penghujung Mac ini.

Beliau berkata tiga persatuan sukan kebangsaan daripada olahraga, renang dan triatlon masih belum menghantar senarai atlet mereka kerana ada yang masih bertanding di dalam pertandingan untuk kelayakan ke Sukan SEA.

"Hanya 95 peratus daripada persatuan sukan kebangsaan telah memuktamadkan senarai atlet mereka kecuali tiga sukan itu," katanya.


MOM, MIM 2015

Artikel Berikut

Artikel Lain