suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kutipan dana Syed Saddiq cecah RM361,848 hari kedua larian ke Muar, jauh lepasi sasaran asal

Syed Saddiq berjaya mencapai sasaran kutipan dana dalam masa dua hari.

SASARAN asal mengumpul dana RM200,000 dalam tempoh empat hari berjaya dipecahkan lebih awal selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan kutipan kini mencecah RM361,848 hanya selepas dua hari Misi Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar.

Perkembangan itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi media sosial pada Sabtu sambil mengakui terkejut dengan sokongan luar biasa diterima daripada orang ramai sepanjang misi berkenaan.

"Sejujurnya saya masih terkejut tengok angka ini. Sasaran asal kita ialah RM200,000 dalam masa empat hari. Tetapi dalam masa dua hari saja kita bukan sahaja sudah capai, malah sudah melebihinya. 

"Alhamdulillah. Thank you so much semua yang menyumbang, berkongsi dan terus memberi sokongan," katanya.

Menurut Syed Saddiq, perjalanan hari kedua yang bermula dari Labu menuju Seremban dan Pedas bukan sesuatu mudah apabila dia berdepan kekejangan otot di seluruh badan selain hujan lebat sepanjang laluan.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq berjaya kumpul RM54,692 hari pertama Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar

Walaupun terpaksa berjalan untuk tiga kilometer terakhir, Syed Saddiq berkata semangatnya kembali pulih apabila melihat kehadiran orang ramai menunggu di sepanjang jalan bagi memberi sokongan.

"Saya betul-betul tersentuh, lihat masih ramai sanggup tunggu di tepi jalan untuk berikan semangat. Untuk tiga kilometer terakhir menuju ke kota... saya dah tak mampu nak berlari, dan terpaksa berjalan.

"Tapi apabila saya nampak lautan manusia menunggu, semangat itu datang balik. Sepanjang perjalanan ada makcik, pakcik yang datang hulurkan wang tunai kepada kami. 

Syed Saddiq berkongsi mengenai perjalanan itu menerusi hantaran di media sosial.

"Sumbangan paling kecil yang kami terima pula, 50 sen. Bagi saya... bukan besar atau kecil jumlahnya. Setiap sen membawa makna kerana semuanya datang daripada hati," ujarnya.

Bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu turut bersyukur apabila perancangan asal untuk menyediakan bantuan food bank dan iPad kepada penduduk Muar kini dapat diperluaskan susulan kutipan melebihi sasaran.

"Dengan sokongan luar biasa ini, kami akan lipat gandakan bantuan untuk masyarakat Muar. Lebih banyak keluarga akan menerima bantuan dan lebih ramai pelajar akan mendapat akses kepada peranti pembelajaran. 

"Terima kasih semua, terima kasih Malaysia. Ini bukan lagi perjalanan saya seorang. Ini perjalanan kita bersama," katanya.

Pada Khamis lalu, Syed Saddiq memulakan Misi Larian Kesyukuran dari Istana Kehakiman di Putrajaya menuju ke Muar sebagai tanda kesyukuran selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Pada hari pertama larian, Syed Saddiq memaklumkan sebanyak RM54,692 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai.

Misi berkenaan pada asalnya menyasarkan kutipan RM200,000 dalam tempoh empat hari bagi membantu anak-anak serta penduduk di Parlimen Muar menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.

Artikel Lain