DI sebalik debaran memulakan langkah sebagai calon buat kali pertama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Shahir memilih memulakan pagi Sabtu dengan menziarahi pusara arwah isterinya.Menerusi satu perkongsian di media sosial, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan itu meluahkan kerinduan terhadap insan yang pernah menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan hidup dan perjuangannya. "Rindu yang tiada penghujung. Sebelum melangkah ke pusat penamaan calon pagi ini, saya terlebih dahulu menziarahi pusara arwah isteri. Dialah insan yang sentiasa berada di sisi saya dalam setiap suka dan duka. "Bersama-sama mengharungi ujian kehidupan, memberi kekuatan ketika saya lemah, dan sentiasa mendoakan setiap langkah perjuangan yang saya pilih."Hari ini, walaupun jasadnya sudah tiada, doa, kasih sayang dan pengorbanannya tetap terpahat dalam hati saya," tulisnya dalam hantaran di Facebook.Dalam hantaran sama, Shahir turut memohon agar dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan bagi memikul amanah yang bakal digalas."Dalam detik yang penuh bermakna ini, saya turut memohon kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan menggalas amanah serta perjuangan yang sedang saya lalui."Semoga setiap langkah yang diatur mendapat petunjuk dan keberkatan daripada-Nya. Al-Fatihah buat arwah isteri tercinta. Semoga Allah SWT merahmatinya. Amin," katanya.Shahir yang membuat penampilan sulung sebagai calon PH di DUN Paroi, Negeri Sembilan itu dijangka berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan calon Parti Bersatu, Mohd Nazree Mohd Yunus.DUN Paroi merupakan antara kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini apabila mempunyai hampir 65,000 pengundi, sekali gus merupakan kawasan dengan jumlah pemilih terbesar di negeri berkenaan.