CUBAAN menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang di Melaka menggunakan dron berjaya dipatahkan selepas polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai merancang operasi itu dari sebuah rumah sewa.Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, lelaki berusia 46 tahun dari Bachok, Kelantan dan isterinya berusia 27 tahun dari Kuala Kemaman, Terengganu ditahan susulan laporan dibuat pihak penjara kira-kira pukul 3.10 petang pada Rabu. Menurutnya, kejadian bermula kira-kira pukul 1.20 pagi pada 15 Julai apabila pegawai penjara yang menjalankan pemantauan teknikal mengesan sebuah dron tanpa kebenaran memasuki kawasan penjara."Dron itu dikesan berlegar di atas bengkel kulinari penjara sebelum berpatah balik ke arah Taman Keris Satria di Sungai Udang."Sistem pengesan dron milik Jabatan Penjara turut merekodkan tiga kali pencerobohan ke kawasan penjara serta berjaya mengenal pasti laluan penerbangan, tempoh operasi, model dron dan lokasi pengendalinya," katanya pada Jumaat.Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah sewa di Taman Keris Satria yang terletak kira-kira 313 meter dari penjara sebelum menahan pasangan terbabit.Dalam serbuan itu, polis merampas dua kotak mengandungi set dron dan alat ganti, dua bungkusan tembakau seberat satu kilogram setiap satu, sebuah penimbang digital serta empat telefon bimbit dipercayai digunakan dalam operasi berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: Penjara Malaysia Antara Terbaik Di DuniaHasil siasatan mendapati suspek lelaki menerbangkan dron jenis DJI Air 2S dari rumah sewa tersebut bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk menjatuhkan tembakau ke dalam kawasan penjara."Soal siasat mendapati suspek mengaku merancang menyeludup tembakau kepada seorang banduan pada malam kejadian selepas berhubung dengannya melalui telefon bimbit."Banduan itu dipercayai mengarahkan suspek menjatuhkan tembakau di salah satu blok dalam penjara, manakala pihak penjara kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti banduan terbabit," katanya.Dia berkata, tiada barangan larangan ditemui di lokasi dron itu berlegar, sekali gus menunjukkan penghantaran tembakau belum sempat dilakukan sebelum pasangan itu diberkas.Menurutnya, wanita terbabit menafikan penglibatannya dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan suaminya.Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada pasangan itu menyewa rumah berhampiran penjara khusus untuk menjalankan kegiatan penyeludupan tersebut.Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 58 Akta Penjara 1955.Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut akan dimaklumkan bagi menyiasat kesalahan mengendalikan dron tanpa kebenaran mengikut Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016."Siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengenal pasti banduan yang terlibat serta sama ada terdapat individu lain menjadi sebahagian daripada sindiket penyeludupan ini," katanya. - The Star.