suria

Ian Williams Dahului Hari Pertama Piala Monsun Malaysia

Ian (kanan) pada sidang media sebaik tamat perlumbaan hari pertama, Selasa.

JOHOR BARU: Juara jelajah dunia empat kali, Ian Williams daripada pasukan GAC Pinder, membuktikan kehebatannya apabila mendahului hari pertama Piala Monsun Malaysia yang berlangsung dalam keadaan cuaca cerah serta angin kencang di Danga Bay, di sini, Selasa.

Pelayar berasal dari Britain itu, memenangi lima dari enam perlumbaan pada peringkat 'round robin' pertama, untuk mendahului kedudukan keseluruhan kejohanan berkenaan yang merupakan pusingan akhir Alpari World Match Racing Tour, siri perlumbaan perahu layar profesional terkemuka dunia masa kini.

"Kami bernasib baik hari ini, tetapi sudah tentu kami akan memperbaikinya terutama kesilapan kecil yang dilakukan semasa perlumbaan. Saya merasakan kesilapan kecil boleh berubah menjadi penting (dan) diharapkan menjelang akhir perlumbaan ini, kami boleh mengelak melakukan kesilapan kecil," katanya kepada Bernama selepas berakhirnya hari pertama perlumbaan berkenaan.

Williams berkata kesilapan kecil tersebut yang lebih kepada aspek teknikal,  menyebabkan beliau terpaksa akur kepada Phil Robertson daripada pasukan WAkA Racing, Selasa.

Sementara itu, Keith Swinton daripada Pasukan Alpari FX, menduduki tempat kedua dengan empat kemenangan, diikuti Pierre Antoine Morvan daripada Pasukan Vannes Agglo Sailing dengan tiga kemenangan.

Wakil tunggal Malaysia pada kejohanan berkenaan, Jeremy Koo pula gagal memenangi kesemua tiga perlumbaannya, Selasa.

Bercakap pada sidang media selepas perlumbaan itu, Koo berkata peluang bersaing dengan pelayar profesional dalam kejohanan regatta itu, dapat membantu pelayar tempatan termasuk beliau, meningkatkan kemahiran mereka.

"Tahap sukan pelayaran di Malaysia semakin berkembang, bagaimanapun pelayar tempatan kurang mendapat pendedahan. Tidak banyak kejohanan kompetitif di Asia.

Menerusi kejohanan regatta seperti Piala Monsun Malaysia, dapat memberi peluang terutama kepada pelayar tempatan berpotensi untuk lebih meningkat," katanya.

Peringkat round robin kedua akan berlangsung esok.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.475 juta.

Kedudukan Selepas Hari Pertama: 

Ian Williams (GBR) (GAC Pinder) 5-1 Keith Swinton (AUS) (Pasukan Alpari FX) 4-2 Pierre Antoine Morvan (FRA) (Pasukan Vannes Angglo Sailing) 3-0 Taylor Canfield (US Virgin Islands) (US One) 3-0 Mathieu Richard (FRA) (LunaJets) 2-1 Phil Robertson (NZ) (WAkA Racing) 2-1 Bjorn Hansen (SWE) (Pasukan Hansen Sailing) 2 -4 Johnie Berntsson (SWE) (Pasukan Stena Sailing) 1-2 Eric Monnin (SWZ) (Pasukan Swiss Match Race) 1-2 David Gilmour (AUS) (Pasukan Gilmour) 1-2 Jeremy Koo (MAS) (Pasukan Sime Darby Foundation/1Malaysia Match Racing) 0-3 Maximilian Soh (SIN) (Pasukan Red Dot) 0-6

Ian Williams, GAC Pinder, Danga Bay

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain