Pengambilan makanan harian dipercayai menjadi punca seseorang itu menghidap kanser. -Gambar hiasan AI
SESIAPA sahaja pasti akan berasa takut dan tertanya-tanya apabila mengetahui rakan mahupun saudara terdekat disahkan menghidap kanser.Lebih menghairankan apabila keluarga pesakit tidak mempunyai sejarah penyakit tersebut. Kebimbangan itu membuatkan ramai mula memerhati pengambilan makanan dan minuman harian.Menerusi satu perkongsian di Threads, Md Zulfi Dzulqarnain yang gemar berkongsi pelbagai fakta berkaitan kesihatan berkata, antara makanan wajar diberi perhatian ialah daging diproses yang menurutnya sering menjadi pilihan ramai terutama ketika sarapan.Memetik kajian yang dijalankan Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daging proses diklasifikasikan sebagai karsinogen Kumpulan 1.Ia sekali gus membuktikan daging yang diproses boleh menyebabkan kanser pada manusia.Berdasarkan penemuan IARC, pengambilan sekitar 50 gram daging proses sehari, bersamaan kira-kira dua keping bacon, dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser kolorektal atau usus sebanyak 18 peratus berbanding individu yang tidak mengambilnya setiap hari.Malah daging proses yang dinyatakan dalam kajian tersebut bukan hanya merujuk kepada bacon, tetapi turut merangkumi makanan seperti sosej, nugget, burger daging proses, corned beef dan daging kisar yang telah melalui proses pengawetan, pengasinan, penapaian atau pengasapan.Lebih membimbangkan apabila label seperti 'tanpa pengawet' atau 'diperbuat daripada daging segar' tidak semestinya bermaksud produk berkenaan bebas daripada risiko kerana faktor utama diberi perhatian ialah proses penghasilannya.