MEYEJUKKAN nasi di dalam peti ais sebelum dimakan sering dikatakan mampu mengurangkan kandungan gula sekali gus menjadi pilihan sesetengah individu yang ingin mengawal paras glukosa dalam darah.Cara itu juga dikatakan pilihan lebih baik terutama bagi pesakit diabetes yang ingin menjaga paras gula dalam darah tetapi masih ingin makan nasi. Namun benarkan kaedah itu berkesan atau sekadar mitos?Menurut Ahli Akademik Kimia dan Alam Sekitar dari Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya ChM Dr Che Puteh Osman, terdapat kajian saintifik di sebalik amalan berkenaan.Menerusi satu perkongsian di Threads, che Puteh menjelaskan apabila beras dimasak, kanji di dalamnya akan menyerap air dan melalui proses dikenali sebagai penggelatinan, menyebabkan ia lebih mudah dihadam oleh sistem pencernaan.Bagaimanapun, apabila nasi yang telah dimasak disimpan di dalam peti sejuk selama kira-kira 12 hingga 24 jam, sebahagian kanji itu akan mengalami proses retrogradasi.Proses tersebut kemudiannya gus membentuk kanji rintang (resistant starch) yang lebih sukar dihadam. Ia menyebabkan pencernaan kanji menjadi lebih perlahan dan membantu mengurangkan kadar kenaikan gula dalam darah selepas makan.Mengulas lanjut, Che Puteh berkata, penghasilan kanji rintang dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk jenis beras, kaedah memasak, tempoh penyejukan dan suhu ketika nasi dipanaskan semula.Beliau turut menjelaskan jika nasi dipanaskan semula pada suhu yang terlalu tinggi seperti nasi goreng, sebahagian kanji rintang boleh bertukar semula kepada kanji biasa. Namun, perubahan itu bergantung kepada kandungan air dalam nasi kerana nasi yang lebih kering dikatakan kurang mengalami perubahan tersebut.Dalam masa sama, Che Puteh mengingatkan bahawa kaedah penyejukan nasi bukan lesen untuk makan dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana walaupun indeks glisemik nasi mungkin menjadi lebih rendah, jumlah karbohidrat atau beban glisemik yang diambil tetap bergantung kepada saiz hidangan.Justeru, Che Puteh menyarankan orang ramai supaya terus mengawal pengambilan nasi mengikut keperluan dan mengamalkan pemakanan seimbang, berbanding bergantung sepenuhnya kepada kaedah penyejukan untuk mengawal paras gula dalam darah.