MEMBENTUK jiwa anak-anak supaya mencintai ibadah solat bukanlah satu usaha yang boleh dicapai dalam sekelip mata, sebaliknya ia menuntut kesabaran tinggi serta usaha yang konsisten daripada ibu bapa.Ramai yang beranggapan anak-anak hanya akan mula bersolat apabila sudah besar, namun hakikatnya suasana dan didikan di rumah memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat tersebut sejak usia kecil. Bagi membantu ibu bapa mendidik anak-anak supaya gemar menunaikan solat, penceramah Bengkel Anak Soleh Puncak Alam, Firdaus Ishak berkongsi empat amalan mudah yang boleh diamalkannya di rumah.Menurutnya, kaedah tersebut bukan sahaja dapat membantu si kecil lebih bersedia, malah mereka akan berasa seronok untuk menunaikan solat lima waktu."Pemantauan dan didikan yang konsisten akan memudahkan anak menjadikan solat sebagai rutin apabila mereka meningkat usia."Anak-anak tidak akan mudah mencintai solat hanya dengan suruhan atau kemarahan, sebaliknya melalui tarbiah serta suasana yang dibentuk di rumah sejak kecil," tambahnya.Berikut antara tip yang dikongsikan:1. Jadikan azan sebagai 'alarm keluarga'Pastikan apabila azan berkumandang terutama waktu Maghrib, seluruh ahli keluarga menjadikannya sebagai isyarat untuk menghentikan seketika aktiviti masing-masing.Anak-anak boleh disuruh untuk menutup televisyen, telefon bimbit atau tablet sebaik sahaja mendengar azan sebelum bersiap sedia untuk menunaikan solat. Lama-kelamaan, mereka akan memahami bahawa azan menandakan sudah tiba waktu beribadah.Menyediakan kelengkapan solat pada setiap anak dapat menggalakkan mereka menunaikan solat. -Gambar hiasan AI2. Mulakan budaya solat berjemaah di rumahSebut sahaja solat jemaah, ibu bapa pasti beranggapan solat lima waktu bersama anak-anak.Namun sebenarnya, anda tidak semestinya melakukan lima waktu setiap hari.Sebaliknya, ibu bapa boleh bermula dengan satu waktu terlebih dahulu seperti Maghrib atau Isyak sebelum meningkatkan amalan itu secara berperingkat.Paling penting adalah membiasakan anak melihat solat berjemaah sebagai rutin harian dalam keluarga.3. Sediakan kelengkapan solat khas untuk anakAnak-anak juga lebih mudah tertarik untuk bersolat apabila mempunyai kelengkapan sendiri seperti sejadah, telekung atau kopiah.Memadai menyediakan satu set khas untuk mereka yang menepati rekaan atau warna disukai.4. Raikan setiap usaha kecil merekaFirdaus turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu mengejar kesempurnaan, terutama bagi anak berusia sekitar lima hingga tujuh tahun yang masih dalam proses belajar.Ada hari mereka mungkin berjaya menunaikan solat lima waktu, namun ada juga hari mereka hanya mampu melakukan dua atau tiga waktu.Justeru, setiap usaha kecil wajar dipuji dan diberikan penghargaan agar anak terus bersemangat.