suria

Sukan SEA: Persatuan Sukan Setuju MOM Tak Letak Sasaran

KUALA LUMPUR: Langkah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) enggan meletakkan sasaran pingat buat kontinjen negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini, mendapat sokongan daripada persatuan sukan kebangsaan.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How menyifatkan keputusan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, Rabu sebagai realistik dan rasional.

MOM buat pertama kali dalam sejarah penyertaan negara ke temasya dwitahunan itu mengambil keputusan tidak meletakkan sasaran pingat bagi mengurangkan tekanan kepada atlet.

Huang berkata, semua persatuan kebangsaan perlu menyokong pendirian MOM itu selain Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah berkata, Sukan SEA lebih untuk pembangunan.

"Jadi motivasinya ialah mewakili negara. Tidak ada motivasi lain. Bagi saya atlet mesti bangga dapat mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pemilihan Sukan SEA 2015 di Wisma MOM, Khamis.

Huang berkata, baginya pemain skuasy sudah mempamerkan prestasi cemerlang untuk berada dalam pasukan kebangsaan.

Katanya, Sukan SEA mahupun Sukan Asia objektif utama atlet adalah membawa nama Malaysia ke persada dunia, bukan merebut insentif.

Penolong Setiausaha 1, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanudin juga turut meluahkan pendapat sama dengan sasaran emas adalah bergantung kepada kemahuan atlet itu sendiri bukan memgikut sasaran yang diletakkan oleh MOM.

"Setiap pemain dia ada sasaran dia sendiri tapi dia boleh sampai atau tidak ke tahap sasarannya itu, bergantung kepada kemampuan dan kesungguhan mereka.

"Kita bukan tidak mahu letak sasaran tapi yang jadi masalah ialah setiap kali kita letak sasaran tak pernah tercapai. Kita memang nak sesuatu tapi kalau kita letak sasaran, adakah atlet mampu capai?," katanya.

Sebagai rekod, Sukan SEA ke-27 di Myanmar, dua tahun lepas, menyaksikan kontinjen negara mengutip 43 pingat emas, 38 perak dan 76 gangsa sekali gus mengatasi sasaran awal 40 pingat emas.



Sukan SEA, MOM, Huang Ying How

Artikel Berikut

Artikel Lain