suria

Sabah Tagih Aksi Terbaik Perlawanan Awal Menentang KL

Tawfiq Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mahu kesebelasan pemain Rhino Sabah mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan awal Liga Perdana, Jumaat.

Katanya, pemain Rhino Sabah perlu menunjukkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi ketika menentang Kuala Lumpur bagi memastikan mereka memenangi perlawanan awal itu sekali gus mengumpul tiga mata penuh.

Menurutnya, kemenangan pasukan itu bukan sahaja ditagih oleh Safa malahan seluruh rakyat Sabah yang telah lama kecewa dengan aksi hambar yang ditunjukkan oleh pemain pada musim-musim terdahulu.

"Kita mahu aksi cemerlang dan menang. Ini boleh menggalakkan peminat-peminat di Sabah yang sudah lama rasa kecewa kembali memberi sokongan kepada Sabah Rhino. Sekiranya ini berlaku dan apabila penonton mula yakin, ini sudah pasti dapat meningkatkan semangat pemain.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penonton di Stadium Likas yang datang menyaksikan perlawanan begitu sedikit," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Seni Kreatif Jahitan SKM tahap Satu hingga Tiga, anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah, kepada 50 peserta di sini pada Khamis.

Katanya, Rhino Sabah memiliki kesebelasan terbaik dengan kehadiran tiga pemain import serta pemain tempatan yang berkebolehan untuk diturunkan menentang pasukan lawan.

"Kita mahu Sabah keluar daripada Liga Perdana dan kembali bermain di Liga Super," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain