suria

ACC: Azizulhasni Raih Emas Acara Keirin

Dari Kiri: Kazunari Watanabe yang mewakili Jepun bersama juara keirin, Azizulhasni dan Worawut Kapunya dari Thailand di kejohanan ACC di Thailand, Khamis.

KUALA LUMPUR: Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-35 di Nakon Ratchasima, Thailand, Khamis.

Kejohanan yang berlangsung di Velodrom Korat itu menyaksikan Azizulhasni, 27, menghadapi saingan sengit daripada dua pelumba Jepun, Kazunari Watanabe dan Yuta Wakimoto.

Namun, Azizulhasni yang bijak mengelirukan lawannya, meninggalkan kedua-dua pelumba Jepun itu dengan jarak hampir 50m untuk memecut ke garisan penamat.

Kemenangan tersebut juga sebagai menebus episod duka pelumba kelahiran Terengganu itu yang gagal menyumbang sebarang pingat di Sukan Asia 2014, di Incheon, Korea Selatan selepas pingat peraknya ditarik balik kerana melakukan kesalahan ketika perlumbaan.

Bagaimanapun, seorang lagi jaguh trek sensasi negara, Josiah Ng, gagal mara ke peringkat akhir apabila sekadar menduduki tempat kelapan pada pusingan kedua.

"Ini adalah kemenangan paling mudah pernah saya kecapi sepanjang menyertai acara keirin pada ACC. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada dua pelumba Jepun itu.

"Apa yang jelas mereka langsung tidak mampu untuk memberikan sebarang asakan kepada saya sehingga ke garisan penamat," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, ratu trek negara, Fatehah Mustapa turut melakar kemenangan dengan meraih pingat perak acara 500m ujian masa, sekaligus memperbaiki pencapaian peribadi sebelum ini.

"Ini kali pertama saya dapat pingat perak menerusi acara 500m ujian masa.

Selama ini saya hanya mampu meraih pingat gangsa.

"Pada masa yang sama, saya juga memperbaiki catatan peribadi di gelanggang luar," katanya.

Dalam pada itu, jaguh trek remaja, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin menambah koleksi pingat selepas menghadiahkan pingat gangsa dalam acara keirin.

Semalam, Mohamad Shariz Efendi yang berganding dengan Muhd Khairil Nizam Rasol dan Mohd Fadhil Mohd Zonis menghadiahkan pingat perak dalam acara pecut berpasukan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain