suria

United Tumpaskan Leicester, Liverpool Menang 2-0 Keatas West Ham

MANCHESTER United berjaya membalas dendam di atas kekalahan mereka di tangan Leicester City September lalu dengan menang 3-1 dalam perlawanan liga yang berlangsung di Old Trafford pada Sabtu.

Dalam perlawanan liga 21 September tahun lalu, United tumpas 3-5 di tangan Leicester di tempat lawan selepas mereka mendahului 3-0 dengan permainan berbaki setengah jam lagi.

Bagaimanapun, kali ini United ingin memastikan mereka tidak akan melakukan kesilapan yang serupa dengan mempamerkan rentak permainan menyerang sepanjang separuh masa pertama sehingga membolehkan mereka mendahului 3-0 menerusi jaringan Robin van Persie, Radamel Falcao dan gol sendiri oleh pemain Leicester, Morgan.

Bagi Falcao, ia adalah gol keempatnya untuk United sejak menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Monaco.

Falcao dibayar gaji sebanyak £280,000 seminggu dengan harapan kehadirannya akan mempertajamkan lagi mutu serangan United tetapi sejak dibelenggu kecederaan, prestasinya tidak begitu menonjol. Namun dalam perlawanan ini, dia membuktikan kenapa dia dibayar gaji setinggi itu.

Bagi Leicester pula, menghasilkan satu jaringan menerusi Marcin Wasilewski sebagai gol konsolasi apabila permainan berbaki sepuluh minit lagi sudah cukup baik kerana dengan permainan kemas di setiap bahagian yang dipamerkan United, tidak mungkin pisang akan berbuah dua kali.

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung Sabtu, Liverpool berjaya menumpaskan West Ham Utd 2-0 menerusi jaringan Daniel Sturridge dan Raheem Sterling.

Sementara itu, Tottenham menumpaskan WBA 3-0, Crystal Palace tumpas 0-1 di tangan Everton, Sunderland menumpaskan Burnley 2-0 manakala Stoke City menambahkan lagi penderitaan Tony Fernandes dengan menumpaskan QPR 3-1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Newcastle Benam Hull City 3-0

Artikel Lain